Wednesday, February 17, 2010

HAJI 7: Wak Mail

Sewaktu di Madinah, Wak Mail tidak tinggal sebilik dengan ku. Dia tinggal di bilik sebelah. Di Mekah, pada awalnya aku sebilik dengan Wak Mail tapi selepas beberapa hari aku bertukar ke bilik sebelah. Ini kerana orang yang diberi amanah untuk menjaga Wak Mail telah dipisahkan bilik. Aku namakan orang itu sebagai Abang A untuk memudahkan cerita. Jadi untuk memudahkan dia menjaga Wak Mail aku bertukar bilik dengannya. Satu lagi sebab aku nak tukar bilik, sebab kebanyakan orang yang sebilik denganku, kuat menghisap rokok. Bilik aku sangat kuat bau rokok. Di tandas bersepah dengan putung rokok.

                                   Kenangan bersama Wak Mail.

Selepas aku melakukan ibadat umrah, aku masuk ke bilik. Orang-orang dalam bilikku bising kerana Wak Mail telah menanggalkan ihramnya. Aku hairan apa masalahnya kerana semua orang dalam bilik tersebut telah selesai menunaikan umrah termasuk aku maka telah terlepaslah pantang larang semasa berihram. Abang A memberitahuku bahawa semasa hendak bertolak ke Mekah, dia telah bertanya Wak Mail, apakah jenis haji yang hendak dikerjakannya. Wak Mail menjawab dia hendak melakukan jenis haji yang sama dilakukan oleh Abang A. Abang A menyatakan dia hendak melakukan haji ifrad dan Wak Mail kata dia pun buat haji tu juga. Jadi bila Wak Mail melucutkan ihramnya maka apa yang dia telah niatkannya tidak selari dengan perbuatannya. Orang yang berniat Haji ifrad di Madinah hanya melakukan tawaf qudum (selamat datang) apabila tiba di Mekah. Dia tidak boleh memakai pakaian berjahit sehinggalah dia pergi melontar di jamrah. Semua orang pening memikirkan perbuatan Wak Mail. Aku mendekatan wak mail dengan bertanya dengan baik kepada Wak Mail: Wak, wak buat haji apa? Wak; Aku buat haji le. Aku: Ye la, Wak buat haji apa? Wak: Aku buat haji macam yang orang lain buat le. Baru aku tahu bahawa Wak Mail tidak memahami jenis dan cara mengerjakan haji. Aku pun susah hati. Mengikut hukum, Wak Mail akan dikenakan dam sebab melangar pantang larang ihram.

Pada suatu hari, aku berjumpa Pegawai Agama TH dan menceritakan kisah Wak Mail ini. Pada malamnya, Pegawai tersebut datang ke bilik dan berjumpa dengan wak Mail. Dia melakukan beberapa ujian bagi memastikan wak Mail dalam keadaan normal dan waras. Dari keputusan tersebut dia mendapati wak mail dalam keadaan waras. Apa yang berlaku adalah kerana kejahilannya. Aku kurang pasti sama ada wak Mail dikenakan dam @ tidak oleh pegawai agama TH tersebut. Pegawai agama TH menyuruh Wak Mail memakai ihram semula sehingga waktu melontar nanti. Itulah sebabnya haji ifrad tiada dam kerana masa berada dalam larangan ihram panjang.

Wak Mail banyak menghabiskan masa di atas katil sahaja dengan berzikir. Abang A tidak berani membawa keluar Wak mail dari hotel takut dia sesat. Makanannya akan kami ambilkan. Jika ada apa-apa makanan yang beli kami akan berikan juga kepada Wak Mail. Walaupun aku sudah tukar bilik, namun aku sering masuk bilik Wak Mail. Wak mail menyatakan sudah beberapa hari dia tak nampak matahari. Kesihan aku kepadanya. Aku nak bawa dia ke masjid, aku ada tanggungjawabku kepada ibuku. Pagi esoknya, selepas subuh aku membawa wak Mail keluar hotel membeli sarapan pagi. Aku Tanya wak Mail dah dapat tengok matahari? Dia gembira sambil menunjukkan aku matahari. Seronok aku tengok keadaan Wak Mail pada masa itu. Selepas itu, aku membawa wak Mail masuk ke bilik.

Jemaah haji yang tinggal sekampung dengan Wak Mail selalu bercakap dengannya dengan cara menengking dan bahasa kasar. Aku kasihan melihat Wak Mail diperlakukan demikian. Tapi aku lihat Wak Mail buat macam tak dengar aje. Aku serta anak sepupuku sahaja yang rajin melayan Wak mail dengan berbual dan mengusiknya. Aku anggap semua orang tua sebagai ibu bapa ku. Bagaimana aku tidak suka orang membuat tidak baik terhadap ibu bapa ku, begitulah juga aku tidak suka orang membuat perkara yang tidak baik terhadap orang tua. Aku mengambil tahu hal-hal berkaitan Wak Mail mengikut kemampuanku.

Sewaktu wukuf di Arafah, aku dimaklumkan wak Mail telah dibawa oleh petugas TH. Aku kurang pasti ke mana. Di Arafah aku cuba mencari Wak Mail, tapi tidak berjumpa. Begitu juga di Mina, aku tidak berjumpa dengan Wak Mail. Selepas pulang dari Mina, Wak Mail mengerjakan tawaf haji dan saie. Dia sepatutnya mengerjakan umrah selepas selesai mengerjakan haji. Aku tidak mengetahui bagaimana Wak mail mengerjakan tawaf haji dan umrah. Cuma aku dimaklumkan oleh Abang A, Wak Mail mengerjakan saie sebanyak 6 kali sahaja. Kurang satu. Aku bertanya Wak Mail, mengapa wak buat saie 6 kali. Wak: Habis aku tengok, orang tak ada, aku balik le. Rupa-rupanya Abang A tidak membuat saie bersama-sama Wak mail. Dia buat laju, wak mail berjalan lambat. Jadi bila Abang A dah selesai saie, dia tinggalkan wak Mail. Kesian Wak Mail. Sepatutnya Abang A buat sama-sama. Kalau dia berjalan laju sekalipun, sepatutnya habis satu saie dia tunggu le Wak Mail di Bukit Safa @ Bukit Marwah. Kemudian mulakan saie bersama. Aku maklumkan kes ini kepada pegawai agama TH, dan dia menyiasat perkara ini benar atau tidak. Dia suruh Wak Mail pergi menyempurnakan saienya dengan mengajak orang lain sebagai teman. Aku sukarela untuk menemani Wak mail menyempurnakan saienya pada selepas waktu asar nanti. Selepas asar, aku datang ke bilik Wak mail tetapi diberitahu Wak mail telah menyempurnakan saienya zohor tadi ditemani oleh Abang A.

Suatu hari, aku dapati wak mail kerap batuk-batuk. Aku berbincang dengan jemaah sebiliknya agar membawa wak Mail berjumpa doktor. Aku bertanya Wak Mail, buku rawatannya. Seperti biasa jawapannya Mana aku tahu. Aku meminta izin daripadanya untuk mencari di dalam beg kecil TH. Aku dapati tiada di dalam beg kecil tersebut. Aku meminta izin untk menyelongkar beg bajunya yang masih berikat. Alhamdulillah ada buku rawatannya. Aku mengajak Wak Mail ke klinik di tingkat bawah untuk mengambil ubat batuk. Dia mengikut sahaja kata ku.

Lebih kurang dua minggu sebelum berlepas pulang, ada beberapa kemusykilan aku terhadap ibadat haji Wak Mail. Aku terfikir setelah mengikut kelas muhasabah diri yang dianjurkan oleh TH, bagi memeriksa ibadat haji kita. Ramai jemaah haji tidak hadir ke majlis ini yang aku rasa sangat penting untuk kita memastikan ibadat haji kita sempurna dan kita tidak ada apa-apa hutang dengan Allah dalam melaksanakan ibadah haji. Aku musykil, Wak mail ada pergi melontar jamrah @ tidak? Kalau tidak dia, upah siapa? Aku tanya Wak mail, wak ada pergi melontar tak? Katanya Tak. Aku tanya wak ada upah orang ke ? Entah, aku mana tahu. Aku: Wak ada bayar duit pada seseorang tak? Ada katanya. Aku ragu dengan jawapan wak Mail. Langkah pertama aku ialah aku meminta izin untuk memeriksa akaun THnya. Aku turun ke kaunter dan meminta menyemak berapa kali Wak mail pernah mengeluarkan wangnya. Pemeriksaan mendapati Wak mail hanya mengeluarkan sekali sahaja wangnya sebanyak 350 riyal. Yang aku tahu wang itu adalah untuk upah orang menyorong wak mail semasa tawaf qudum. Jadi apa yang wak mail kata ada upah orang melontar tidak betul. Aku jadi serabut. Kalau Wak mail tidak pergi melontar, tidak mengupah orang lain melontar, bagaimana ibadah haji Wak Mail? Aku pergi ke pejabat TH di hotelku dan berjumpa dengan pengurus TH Maktabku. Aku menceritakan berkaitan Wak Mail dan kerisauanku tentang ibadat hajinya. Menurut pengurus berkenaan, di arafah memang TH mengambil warga emas yang tiada waris dan memang warga emas tersebut tidak pergi melontar. Lantas aku bertanya kalau upah orang melontar, kenapa wak mail tidak membayar upahnya. Pengurus memberitahu bahawa ianya ditanggung oleh pihak TH sebagai satu kebajikan kepada warga emas. Aku lega mendengar penjelasan pengurus tersebut. Pengurus mengucapkan terima kasih kepadaku dan menyatakan jika semua jemaah haji dapat melakukan perkara yang sama seperti aku lakukan, mudahlah kerja TH. Katanya kita sepatutnya sentiasa ingat-mengingati antara satu sama lain semasa mengerjakan haji. Sebenarnya,Aku takut haji Wak Mail tidak sempurna dan bila bilik ke kampung dia akan menanggung dosa. Ibadah haji bukan satu ibadat yang boleh dibuat sambil lewa. Oleh itu mengerjakan ibadat haji memerlukan kita ilmu. Itu sebab majlis ilmu yang dianjurkan oleh TH di Mekah perlu kita hadiri untuk kita muhasabah diri terhadap ibadah haji yang telah kita jalankan. Kalau ada dam-dam yang perlu dibayar disebabkan kesalahan kita, ianya perlu diselesaikan sebelum kita keluar dari tanah haram Mekah.

Aku bertanya Wak mail, tidakkah dia ingin membeli barang-barang sebagai ole-ole dari Mekah. Seperti kopiah, baju, kurma dan lain-lain lagi. Wak mail kata alah di Malaysia pun ada semua itu. Jemaah haji yang sekampung denganya meminta duit dari Wak mail untuk membeli ole-ole untuk di bawa pulang. Wak mail sebenarnya banyak wang. Dalam akaun TH ada hampir 10 ribu. Setelah dibeli, barang-barang tersebut diserahkan kepadanya. Wak mail merungut kepada ku: Buat apa beli barang-barang ni, semuanya ada di malaysia. Aku kata sebagai ole-ole dari Mekah.

Semasa hendak bertolak ke Jedah untuk pulang ke Tanah air, Wak Mail kehilangan seliparnya. Kesihan aku melihatnya. Dia berkaki ayam. Kebetulan selipar yang aku gunakan di Mekah, aku bercadang untuk tidak dibawa balik. Jadi aku berikan kepada Wak mail selipar ku itu. Aku lihat Wak Mail gembira bila aku memberi seliparku. Di Madinah Hujjaj, Jeddah aku tidak bertemu Wak mail. Dia berlainan bilik dengan ku.

Selepas beberapa bulan pulang ke tanah air, aku teringat Wak mail. Aku sekeluarga pergi ke kampung Wak Mail untuk menziarahinya serta jemaah haji yang lain. Apabila aku berjumpa Wak mail, aku tanya: wak, kenal saya lagi? Lantas wak mail menjawab: kamu yang bagi aku seliper tu ye? Sambil menunjukkan selipar yang aku berikan kepadanya. Aku tersenyum. Hatiku berkata; Sebab selipar orang akan ingat kita sampai bila-bila. Oleh itu, buatlah kebaikan walau pun sedikit. Dah lama aku tidak menziarahi dan mendengar berita Wak Mail. Semoga wak mail sihat dan panjang umur dalam menjalani ibat kepada Yang maha Esa.

Kisah Wak Mail yang aku paparkan ini, bukanlah untuk menjatuhkan maruahnya. Juga bukan tujuanku untuk riya’, bangga diri dan menunjuk-nunjuk. Aku mohon dijauhkan daripada sifat keji tersebut. Tujuannya ialah ingin berkongsi pengalaman yang boleh diambil pengajaran. Selain itu ianya memberi pengajaran bahawa kita jangan mudah lepaskan ibu bapa kita terutama yang uzur @ tua mengerjakan haji dengan menumpang orang lain lebih-lebih lagi yang bukan saudara kita. Kadang-kadang, semasa di kampung mereka kata sanggup menjaga ibu bapa kita, tetapi bila sampai di tanah suci mereka tidak dapat menunaikan amanah yang kita berikan. Aku pun tidak salahkan mereka kerana bila di sana kita akan sibuk dengan urusan kita sendiri. Bila ini berlaku, mungkin fikiran orang tua kita akan berserabut di sana. Bila aku fikirkan kisah wak Mail ini, benarlah tindakan ibu ku yang tidak mahu menunaikan haji tanpa di temani anak-anaknya. Oleh itu kepada sahabat-sahabat belajarlah ilmu haji ini dari sekarang. Jangan tunggu bila kita dah betul-betul bersedia nak pergi. Kadang-kadang allah memanggil kita menjadi tetamuNya secara tiba-tiba. Jika kita sudah ada ilmu haji, maka kita tiada masalah untuk menyahut seruanNya. Fikir-fikirkanlah.

1 comment: