Selesai menunaikan solat jumaat, aku menyorong ibuku untuk pulang ke hotel. Aku melalui jalan di mana aku masuk, iaitu di sebelah Bukit Marwah. Oleh kerana ini kali pertama aku ke masjidil haram, aku keliru mana satu jalan yang aku gunakan masuk ke MH. Ini kerana di penghujung jalan, terdapat sedikit anak tangga. Semasa masuk, aku tidak menaiki anak tangga. Alhamdulillah, jemaah haji lain yang melihat aku hendak melalui anak tangga, mereka membantuku mengangkat kerusi roda ibuku. Terasa wujudnya perpaduan Islam dan persaudaraan sesama Islam. Aku melalui deretan kedai gunting rambut dengan menuruni bukit. Di penghujung jalan menuruni bukit, adalah jalan jemaah yang keluar dari tingkat bawah MH. Jalan seperti simpang tiga. Di simpang tersebut terdapat beberapa blok batu yang terdapat laluan dicelahnya memisahkan jalan yang aku lalu menuruni bukit dengan jalan dari tingkat bawah MH yang menaiki bukit. Di simpang tersebut aku akan membelok ke kiri. Iaitu dari menuruni bukit dan setelah melalui celah blok batu aku akan ke kiri menaiki bukit pula. Perjalanan menjadi terlampau sesak. Orang dari belakang, kiri dan kanan ku menolak antara satu sama lain. Kami tidak boleh bergerak disebabkan tidak dapat melepasi blok batu kerana jemaah yang keluar dari tingkat bawah MH juga terlampau sesak. Traffic jem. Bukan kenderaan tetapi jemaah yang berjalan kaki. Aku tidak boleh melangkah ke hadapan kerana orang dihadapan juga tidak bergerak. Nak mengundur ke belakang atau bergerak ke kiri dan ke kanan memang tak boleh. Di saat itu, aku berfikir beginikah keadaannya apabila kita berkumpul di Padang Masyhar? Ianya menginsafkan. Dalam keadaan tolak menolak itu, getah tayar kerusi roda ibuku terlucut akibat ditekan dan ditolak oleh jemaah dari arah belakang, kiri dan kanan. Aku rasa tak terdaya untuk menahan kerusi roda ibuku. Maklumlah sedang menuruni bukit. Sampai satu tahap, aku berfikir ingin melepaskan sahaja kerusi roda itu dari peganganku. Tapi aku berfikir apa yang akan berlaku kepada Ibuku. Ibu ku mungkin akan mati akibat tiada yang mengawal kerusi rodanya dan akan dipijik oleh jemaah yang terlalu ramai tersebut. Dalam keadaan panik itu, aku teringat kisah 3 orang lelaki yang terkurung dalam sebuah gua telah diberi pertolongan oleh Allah dengan cara mereka bertawasul terhadap amalan baik yang mereka amalkan. Lantas di dalam hati, aku berkata : Ya Allah, Aku telah berusaha agar ibuku dapat menunaikan fardu Haji. Oleh itu tolonglah aku dan selamatkanlah ibuku. Selesai aku berkata-kata demikian di dalam hati, lantas aku bertakbir dengan kuat sebanyak 3 kali. Selesai aku bertakbir, tiba-tiba aku dapati di sekeliling ku dan ibuku lapang dalam bentuk bulatan. Aku dan ibuku seperti dipagar. Aku dan ibuku dapat melepasi blok batu penghalang itu dengan mudah dan membelok ke kiri mendaki bukit juga dengan mudah. Keadaan aku dan ibuku seperti dikepung dalam bulatan berlaku sehinggalah aku melalui jalan yang kurang padat jemaah. Selepas itu, perjalanan pulang ku lancar.
Setibanya di hotel dan sehingga saat ini, aku masih terkejut dengan peristiwa aku seperti dikepung dalam bentuk bulatan. Tetapi aku yakin itu pertolongan Allah yang aku terima di saat aku melalui keadaan kritikal. Aku bersyukur kerana Allah telah menolongku. Peristiwa aku tidak dapat melangkah kehadapan disebabkan terlampau padat jemaah haji menyebabkan aku hanya menunaikan solat di masjid yang berhampiran hotelku sehinggalah keadaan di MH tidak padat. Aku menjadi trauma. Apatah lagi pihak TH menasihatkan agar bersembahyang di masjid / surau berhampiran kerana bilangan jemaah haji yang masuk ke Mekah semakin ramai kerana hari wukuf semakin hampir. Ianya juga bagi tujuan keselamatan kerana kerja-kerja (rukun-rukun) haji belum dilakukan lagi. TH ingin memastikan jemaah haji dalam keadaan sihat dan kuat kerana ibadah haji memerlukan kekuatan fizikal dan mental.
Di Mekah, setiap kali selepas solat waktu, semua jalan raya akan ditutup kepada semua kemderaan. Ini bagi memberi peluang jemaah haji balik ke hotel dengan selamat. Selepas waktu solat, kita akan dapati semua jalan raya kelihatan putih di sebabkan warna pakaian yang dipakai oleh jemaah haji. Apabila jemaah haji telah berkurang kerana telah kembali ke tanah air, jalan tidak ditutup kepada kenderaan selepas selesai solat waktu. Jalan raya akan bertambah sesak disebabkan peniaga-peniaga haram menjual barangan mereka disepanjang jalan dengan cara menghampar kain. Aku katakan haram kerana jika penguatkuasa lalu mereka dengan cepat akan mengikat barang yang dijual dengan kain hamparan tersebut dan lari lintang pukang. Kebanyakan mereka aku dapati orang Afrika. Biasanya mereka menjual jubah, tudung, kopiah, jam dan lain-lain lagi. Satu lagi barang yang banyak dijual oleh warga Afrika ini ialah ubat kuat. Aku sering ditawarkan ubat ini. Biasanya barang tersebut tidak dipamerkan. Apabila kita lalu di depan mereka, mereka akan kata;, aji kuat, aji kuat. Itulah perkataan yang mereka sebut. Yang tak tahu cakap melayu, mereka akan sebut, aji dan kemudian menunjukkan isyarat lucah. Aku hanya menggelengkan kepala kerana bagi aku kalau setakat pergi Mekah untuk mencari benda tu, buat habis wang dan masa. Kalau setakat nak cari ubat tu aku fikir di Malaysia berlambak. Kita nak kuat banyak mana. Kalau ada ubat yang boleh beri aku kuat beribadat, boleh lah aku beli.
Satu perkara yang menjadi kebiasaan kita apabila berada di Mekah bahkan juga di Madinah ialah selepas menunaikan solat sunat ba’diah , kita akan mengerjakan solat jenazah. Sepanjang aku berada di madinah, hanya tiga kali selepas solat sunat ba’diah yang tiada solat jenazah. Ini bererti pada waktu itu tiada jemaah yang meninggal dunia. Tetapi sepanjang aku berada di Mekah, setiap waktu ada solat jenazah. Aku sering solat di tingkat satu, dan dibarisan hadapan supaya aku dapat memandang baitullah. Ini kerana mengikut ilmu yang aku pelajari ada beberapa perkara yang kalau kita pandang sahaja, kita akan mendapat pahala, iaitu: memandang wajah ibu kita, al-Quran, Baitullah dan Telaga Zam-Zam. Malangnya sekarang telaga zamzam ditutup daripada dimasuki oleh orang ramai. Aku selalu memastikan kedudukan aku berada diantara Hajartul aswad dan pintu kaabah. Kawasan ini dinamakan Multazam. Multazam adalah di antara tempat berdoa yang mustajab. Sepanjang aku menunaikan solat di MH aku berada di kawasan Multazam kecuali 2 kali iaitu semasa kali pertama memasuki MH dan pada suatu hari aku solat Asar mengelakkan daripada terkena panas cahaya matahari. Hari itu, aku mengambil kedudukan dengan mengadap bahagian pancuran emas.
Aku dapat membuat kesimpulan perbezaan di Masjid Nabawi(MN) dan Masjidil Haram (MH) adalah seperti berikut:
Masjid Nabawi Masjidil Haram
Jemaah lelaki dan perempuan diasingkan Jemaah lelaki dan perempuan bercampur
Tempoh antara azan dan iqamat panjang (20 – 30 minit). Seperti di Malaysia pendek
Terdapat Imam yang kita boleh dengar membaca Bismillah sebelum fatihah. Tidak dengar imam membaca Bismillah
Seni binanya halus dan menarik Biasa sahaja.
Terdapat pegawai masjid yang akan memastikan saf-saf dihadapan / di dalam masjid dipenuhi terlebih dahulu Pegawai masjid mengawal pintu masuk sahaja.
Masjid ditutup lebih kurang jam 10.00 mlm dan dibuka jam 2.00 pg. 24 jam buka.
Keliling masjid terdapat tandas Hanya ada satu tandas sahaja di bahagian tepi tempat saie. (Yang aku tahu, sebab aku tidak melawat keliling kawasan masjid)
Ada solat tahyatul Masjid. Tiada solat sunat tahyatul masjid tetapi diganti dengan tawaf sunat.
Ada waktu-waktu tertentu tidak boleh mengerjakan solat sunat. Boleh mengerja solat sunat sepanjang masa.
Di hotel, aku tinggal bersama dengan 7 lagi jemaah haji dari perak. Ada dikalangan mereka yang ditakdirkan dari kampung ku dan yang tinggal di kampung yang berdekatan dengan kampung ku. Terdapat dua orang warga emas. Seorang Wak Mail dan seorang lagi dipanggil Pak Ngah. Aku sangat kesian kepada Wak Mail kerana beliau menunaikan haji tanpa waris. Umur beliau hampir 80 tahun tetapi aku tengok orangnya masih sihat. Maklumlah orang Jawa. Sepanjang berbelas tahun aku bergaul dengan orang Jawa, aku dapati masyarakat Jawa panjang Umur dan sentiasa sihat. Mungkin itu rahsia mereka makan tempe. Menurut orang-orang kampung Wak Mail, beliau seorang yang handal. Aku bertanya, mengapa mereka berkata demikian. Mereka menjelaskan Wak Mail akan berbasikal dari kampungnya di Sungai Kerang, seberang Perak untuk ke Bandar Teluk Intan. Beliau telah beberapa kali telah dilanggar oleh lori, tapi Wak Mail tidak mengalami apa-apa kecederaan. Anaknya mengamanahkan salah seorang daripada jemaah haji yang tinggal sekampung dengannya untuk menjaga Wak Mail. Tapi malangnya orang yang diamanahkan tidak dapat menjalankan amanah tersebut. Ini kerana beliau juga perlu menguruskan isterinya. Nasihat aku kepda sahabat-sahabat, agar jangan biarkan orang tua kita lebih-lebih lagi yang uzur menunaikan haji dengan menumpang orang lain. Takut terjadi sebagaimana Wak Mail. Terbiar. Semasa di Madinah, Wak Mail seperti orang kebingungan. Dia telah tersalah masuk bilik dan menyelongkar beg jemaah haji lain. Dia menyatakan duitnya telah hilang. Bila jemaah haji tersebut masuk ke biliknya, dia menuduh Wak Mail sebagai pencuri. Tetapi apabila diterangkan kepada jemaah tersebut keadaan Wak mail yang dalam keadaan bingung, jemaah haji tersebut memahami keadaan Wak Mail. Sebenarnya wang Wak Mail tidak hilang, cuma dia mencari duitnya di beg orang lain.
Satu lagi peristiwa yang menghairankan dan memeningkan pegawai TH ialah semasa melalui imegrasen di Madinah waktu mula sampai, Wak Mail tidak menyerahkan paspotnya tetapi beliau mendapat kad yang menunjukkan beliau telah menyerahkan pasportnya seperti mana orang lain. Beberapa hari sebelum bertolak ke Mekah, pegawai TH pening kepala sebab pasport Wak Mail tiada dalam simpanan mereka. Jika ini berlaku, Wak Mail tak boleh masuk Mekah dan tidak boleh pulang ke Tanah air. Bila ditanya kepada Wak Mail tentang pasportnya, beliau hanya menjawab: Entah mana aku tahu. Pegawai TH menjadi rungsing. Entah bagaimana salah seorang orang kampungnya berfikir untuk memeriksa beg besar Wak Mail yang masih berikat. Beliau meminta izin daripada Wak Mail untuk memeriksa begnya. Beliau izinkan. Apabila diperiksa, pasport nya ada di dalam beg tersebut. Pegawai TH hairan, bagaimana Wak Mail boleh melepasi kaunter imegrasan di lapangan terbang tanpa menyerahkan pasport, sebaliknya pegawai imegrasan Arab Saudi memberikannya kad yang menunjukkan dia telah menyerahkan pasportnya.
No comments:
Post a Comment