Sebelum bertolak ke Mekah, isteriku mencadangkan supaya aku membeli kerusi roda untuk ibuku kerana ibuku tidak boleh berjalan jauh. Kami ke farmasi di Madinah dan membeli sebuah kereta roda berharga 250 riyal., Murah berbanding di Malaysia RM400 ke atas. Kerusi roda ni kita tulis sahaja nama dan no. Bilik serta nama hotel, insyaAllah tidak hilang walaupun disumbat di mana-mana kenderaan. Semasa hendak ke Mekah, barang-barang yang hendak di bawa, dikumpulkan di satu tempat dan petugas-petugas muasasah akan mengangkutnya. Kita hanya membawa beg sending yang diberi TH. Kami mandi sunat ihram , dan mengenakan pakaian ihram.
Pemandu bas yang membawa aku ke Mekah adalah rakyat Mesir. Boleh dikatakan semua petugas-petugas haji adalah rakyat luar Arab saudi. Orang Arab Saudi jadi tokey-tokey. Kami menunaikan solat Maghrib dan Isya’ di Masjid Bir Ali. Kami juga menunaikan solat sunat ihram dan berniat. Masjid ini adalah tempat dimana kita berniat ihram (miqat) untuk menunaikan haji / umrah. Aku berniat untuk membuat Haji Tamatuk memandangkan masa untuk wukuf lebih kurang 2 minggu lagi. Haji Tamatuk adalah kita mengerjakan umrah terlebih dahulu diikuti dengan Haji. Satu lagi ialah Haji Ifrad iaitu mengerjakan Haji dahulu kemudian Umrah. Haji Tamatuk dikenakan dam (seekor kambing) tetapi Haji Ifrad tidak dikenakan dam. Ini kerana untuk menjaga pantang ihram bagi Haji Ifrad lebih susah berbanding Haji Tamatuk. Selain itu ada satu lagi jenis haji iaitu Haji Qiran dimana kita niat haji dan umrah serentak.
Aku menempuh perjalanan ke Mekah dalam tempoh 10 jam. Sebaik sahaja ingin memulakan perjalanan aku tidak putus-putus membaca doa yang bermaksud; Ya Allah, permudahkan urusanku dan jangan menyusahkanku serta sentiasa beristigfar. Sepupu ku menyuruh aku memimpin bacaan talbiah. Aku menyuruhnya memulakan dahulu. Oleh sebab aku duduk di bahagian hadapan, aku bangun dan memaklumkan kepada para jemaah agar kita sama-sama bertalbiah dan bergilir-gilir memimpinnya. Sepupuku memulakan memimpin bacaan talbiah. Bila kita membaca Talbiah wujud perasaan syahdu di dalam hati kita. Apatah lagi apabila kita menghayati maksudnya iaitu: Hamba Mu datang menyahut panggilanMu. Ya Allah, hambaMu datang menyahut panggilanMu, hamba Mu datang menyahut panggilanMu, Tuhan yang tidak ada sekutu bagiMu, hamba Mu datang menyahut panggilanMu, sesungguhnya segala pujian, nikmat dan pemerintahan adalah kepunyaanMu, tidak ada sekutu bagiMu. Bila kita membacanya dengan menghayatinya air mata kita akan mengalir.
Satu perkara yang merisaukan aku ialah kalau nak buang air besar / kecil. Di sini walaupun jalannya luas macam highway tapi kemudahannya tidak seperti di Malaysia yang menyediakan pelbagai kemudahan.Semasa bas berhenti mengisi minyak, ada jemaah yang hendak membuang air kecil tetapi tiada tandas. Maka mereka membuang air kecil di merata tempat yang terlindung. Tidak kira lelaki atau perempuan.
Selepas berhenti mengisi minyak, bas meneruskan perjalanan. Tiba-tiba aku rasa perut ku sakit. Keadaan inilah yang sangat merisaukan aku. Bagaimana aku nak beritahu pemandu? Ada ke tempat untuk membuang air besar? Aku terus berdoa agar Allah permudahkan urusanku. Alhamdulillah, tidak berapa lama, tiba-tiba bas berhenti di sebuah kedai makan. Aku bersyukur kerana Allah telah memudahkan urusan aku. Aku mencari tandas di kedai tersebut dan Alhamdulillah ada. Tapi tandasnya terlampau kotor. Aku rasa kedai dan tandas ini dibuka semasa musim haji sahaja. Selepas menunaikan hajat, aku ke kedai memesan kopi dan bertegur-sapa dengan pemandu bas. Aku berkomunikasi dengannya hanya menggunakan bahasa isyarat sahaja.
Kemudian kami meneruskan perjalanan. Sepanjang perjalanan tiada apa yang menarik pemandangan kecuali bukit-bukau dan gunung-ganang yang terdiri daripada batu-batu. Tidak kelihatan kawasan perumahan / perkampungan. Wujud dalam pemikiranku, bagaimana susahnya nabi berhijah dahulu. Tiada highway macam sekarang Merentasi gugung-ganang dan bukit-bukau. Begitu susahnya Nabi berjuang untuk Islam, tiba-tiba kita sebagai umatnya tidak mengamalkan segala seruannya. Tidak menyokong perjuangan menegakkan menegakkan negara Islam. Aku insaf bila memikirkan susah-payah nabi mengembangkan Islam.
Semasa perjalanan, tiba-tiba bas berhenti di tepi jalan. Dimaklumkan bahawa penutup barang di atas bas terbuka. Pemandunya turun membetulkannya. Agak lama bas berhenti. Ada seorang jemaah yang memberitahu aku supaya kami mengutip sedikit wang dan diberikan kepada pemandu bas tersebut. Mungkin pemandu tersebut hendakkan wang baksis. Baksis bahasa mudahnya ialah wang poket. Memang terdapat pemandu yang melambat-lambatkan perjalanan bertujuan meminta wang baksis ini. Mereka akan membuat pelbagai kerenah untuk mendapatkan wang baksis ini. Aku menyatakan kepada jemaah tersebut, aku yakin pemandu tersebut memang membetulkan kanves yang menutup barang-barang di atas bas. Semasa berhenti di kedai makan dan aku berkomunikasi dengannya, aku dapat membaca sifat peribadinya yang bukan jenis yang suka menyusahkan orang / meminta baksis. Memang selesai membetulkan kanves tersebut, beliau meneruskan perjalanan tanpa meminta wang baksis.
Perjalanan kami seterusnya lancar tanpa ada apa-apa halangan. Dalam perjalanan, kami melalui beberapa sekatan di mana pasport diperiksa dan di suatu tempat semua jemaah dihadiahkan dengan makanan / biskut, kurma dan air zamzam oleh kerajaan Saudi. Tidak lama kemudian aku dapat melihat batu tanda yang memisahkan tanah haram dan tanah halal. Ini menandakan perjalanan kami telah hampir menuju Mekah. Aku sampai di hotel penginapan iaitu Hotel Marwah An-Naqa lebih kurang jam 3.00 pagi. Hotel ini terletak di sebelah Bukit Marwah. Syeikh Muasasah menyambut kami dengan mesra sambil mengucapkan tahniah kerana kami telah dipilih menjadi tetamuNya. Beliau fasih berbahasa Melayu. Beliau menyatakan sebarang masalah yang dihadapi bolehlah dimaklumkan kepada beliau dan pembantu-pembantunya. Aku ditempatkan di Maktab 52. Di sekitar hotel / maktab ini terdapat pasar basah- menjual sayur-sayuran, daging dan kedai-kedai Indonesia. Di hotel ini keadaan lift agak kecil berbanding di Madinah. Begitu juga dengan keadaan hotel yang kurang ceria berbanding di Madinah. Cuma yang baiknya ialah keseluruhan hotel ini dipenuhi oleh orang Malaysia. Jadi, penggunaan lift tiada masalah. Semasa di Madinah, hotel yang aku diami berkongsi dengan orang Turki. Saiz orang Turki walaupun hampir tinggi dengan orang malaysia tetapi badan mereka dua kali ganda orang Malaysia. Bila masuk lift, hanya beberapa orang yang dapat naik. Bayangkan kalau orang Malaysia masuk lift, katakan 15 orang, kalau orang Turki naik lift, mungkin hanya muat 8-9 orang. Di Madinah kadang-kadang aku turun guna tangga walau pun duduk di tingkat 13. Masa naik kena gunakan tangga sampai tingkat 3 @ 4, baru guna lift. Kalau tunggu lift di bawah, lambatlah jawabnya. Satu perangai orang Turki yang aku tengok, kalau dia lambat masuk lift, tiba-tiba over load, dia buat tak tahu, kita yang kena mengalah.
Petugas TH memaklumkan bahawa esok selepas solat subuh kami akan ke masjidil haram untuk membuat tawaf umrah (bagi yang berniat Haji tamatuk) @ tawaf Qudum – Tawaf selamat datang (bagi yang berniat haji ifrad).
Esoknya selepas solat subuh kami berkumpul untuk dibawa ke Masjidil haram. Aku dan isteri mengambil keputusan bahawa sepanjang mengerjakan tawaf dan saie umrah nanti, aku akan mengerjakannya bersama ibuku, dan isteri ku akan bersama kakakku. Kami buat keputusan ini untuk memudahkan kami agar tidak berlaku keadaan tunggu menunggu. Oleh kerana aku membawa / mengiringi ibuku, sudah tentu lambat untuk menyelesaikan sesuatu ibadat itu. Jadi aku tidak mahu isteri dan kakak ku membuang masa menunggu aku dan ibu melakukan ibadat. Kalau mereka habis cepat, mereka akan terus pulang ke hotel. Pagi itu adalah hari Jumaat. Aku membawa ibuku dengan menolak kerusi rodanya. Kami dibawa mengikuti lorong yang agak sempit di mana dikiri kanan jalan terdapat kedai-kedai lama. Terdapat sebuah masjid yang menjadi mercu tanda tempat itu yang dipanggil Masjid Kucing. Aku pun tak tahu kenapa masjid itu dipanggil masjid kucing. Mungkin sebab di situ banyak kucing. Oleh sebab berkerusi roda, aku dan isteri melakukan tawaf di tempat berasingan. Aku di tingkat 1 di mana satu ruangan telah disediakan untuk jemaah haji yang menggunakan kerusi roda. Isteriku melakukannya di dataran tawaf dengan melalui pintu Babus Salam. Petugas haji mengarahkan aku untuk masuk ke masjidil haram melalui Bukit Marwah dimana tempat ibadah saie dilakukan. Aku terus berjalan dengan menghala ke bukit Safa’ dan mencari-cari dimanakah tempat tawaf. Petugas TH menunjukkan jalan untuk ke ruang tawaf.
Tibat-tiba aku ternampak satu objek hitam ditengah-tengah tempat tawaf. Aku mengucapkan syukur dan mengucap dua kalimah syahadah. Sekarang aku telah melihat baitullah secara terus. Aku mencari rukun Yamani dan Hajar Aswad untuk aku mengadap Baitullah untuk memulakan tawaf. Bagi memudahkan untuk memulakan tawaf, aku mencari lampu berwarna hijau yang menandakan tempat permulaan tawaf. Aku melakukan perkara yang sunat dilakukan sebelum mengerjakan tawaf. Waktu itu hanya perasaan gembira sahaja timbul di dalam hatiku.
Apabila habis tawaf pertama aku membaca doa seperti mana yang terdapat dalam buku yang dibekalkan oleh TH. Aku membaca dalam bahasa melayu supaya aku lebih khusyuk dan memahami apa yang aku baca. Apabila tiba ayat: Ya Allah, sesungguhnya aku meminta kepada Mu keampunan, kesihatan yang sempurna dan penolakan yang berkekalan dari bala bencana sama ada pada agama dan akhirat serta mendapat kemenangan dengan beroleh syurga dan keselamatan dari api neraka, tiba-tiba aku menangis semahu-mahunya. Aku terasa diri ini terlalu dekat dengan Allah taala. Doa yang aku baca menyentuh hatiku yang datang menjadi tetamuNya dengan membawa dosa yang banyak. Begitulah apabila selesai satu pusingan tawaf aku akan membaca doa seperti mana yang terdapat dalam buku Doa-Doa dan panduan Solat Sunat di Tanah Suci yang dibekalkan oleh TH sehinggalah pusingan ke 7. Setiap doa mengandungi kata-kata keampunan dan dijauhkan dari api neraka. Semasa aku membaca buku ini di Malaysia, hati ku tidak terasa apa-apa. Tetapi apabila dibaca di depan baitullah, aku dapat merasakan betapa banyaknya dosaku dan ianya menusuk ke dalam hati. Sepanjang berdoa aku menangis semahu-mahunya tanpa rasa malu. Ianya berlaku kerana datangnya dari hati dan bukan dibuat-buat atau dipaksa-paksa. Aku tidak tahu sama ada ibuku menangis bersama kerana semasa berdoa tumpuan ku 100% kepada Allah Taala. Selepas itu aku menunaikan solat sunat dua rakaat. Di tingkat satu, aku melakukan tawaf memakan masa lebih kurang 1 jam 30 minit.
Selesai bertawaf , aku melakukan ibadah saie. Juga di tingkat satu, dilorong khas pengguna kerusi roda. Bermula di sebelah bukit Safa’ dengan mengangkat kedua belah tangan, melambai-lambai hala ke Baitullah tiga kali dengan bertakbir aku memulakan saie. Di tingkat satu, tiada kawasan yang berbukit. Rata sahaja laluannya. Di sini para remaja di Arab Saudi menambah pendapatan mereka dengan mengambil upah menolak kerusi roda bagi jemaah haji yang tua @ uzur. Apabila aku melihat mereka menolak kerusi roda, rasa nak ketawa ada, rasa nak marah pun ada. Apa tidaknya, mereka menolaknya dengan sangat laju dan apabila sampai satu tahap mereka bergayut di kerusi roda untuk mengelakkan penat. Aku kesihan kepada jemaah haji yang tua @ uzur kerana kalau dihentikan secara mengejut, takut mereka akan terpelanting. Maklumlah tak pakai tali pinggang keledar dan dibawa dengan sangat laju. Mereka berbuat demikian untuk mencari wang sebanyak mungkin. Cepat siap, cepatlah dapat pelanggan baru. Upahnya mencecah hingga 350 riyal seorang. Aku rasa dalam masa 30 minit mereka boleh selesaikan untuk seorang jemaah. Aku selesai bersaie lebih kurang jam 9.00 pagi. Di Masjidil haram sebenarnya kita boleh meminjam kerusi roda yang diwakafkan oleh orang ramai tanpa bayaran. Kita boleh menggunakannya sepanjang musim haji dan memulangkannya apabila kita hendak berangkat pulang ke tanah air. Kita boleh meminta pihak hotel memulangkannya di Masjidil Haram.
Sebaik selesai saie, Aku menggunting sedikit rambutku. Bagitu juga ibuku. Dengan itu selesailah pekerjaan ibadah umrah wajibku dan ibu. Selesai sahaja aku mendapati Masjidil Haram telah dipenuhi oleh jemaah untuk menunaikan solat fardu Jumaat. Begitu juga diluar ramai jemaah datang memasuki MH. Di sini kalau kita berjalan menentang arus, ianya boleh menyebabkan kematian. Aku terperangkap dan terus menunggu solat Jumaat. Cadangan untuk minum atau membuang air kecil dilupakan kerana orang terlampau padat. Di sini solat jumaat dalam pukul 11.00 pagi lebih. Ibuku telah terbatal air sembahyang. Tapi nak buat macam mana. Nak keluar tak boleh. Tempat wuduk jauh. Jadi aku menyuruhnya tunggu sehingga selesai solat Jumaat dan dia menunaikan solat zohor sahaja di hotel.. Di Masjidil Haram (MH) sembahyangnya campur lelaki perempuan. Di depan kita ada orang perempuan, begitu juga di kiri kanan dan belakang. Pihak MH tidak dapat mengawal supaya yang jemaah perempuan di belakang dan lelaki di hadapan. Macam mana nak kawal, orang terlampau ramai. Satu lagi kerana semasa tawaf dan saie memang bercampur lelaki dan perempuan. Jadi bila waktu sembahyang macam mana nak asingkan lelaki dan perempuan. Tidak seperti di M. Nabawi, jemaah lelaki dan perempuan diasingkan. Di sini semasa jemaah haji mula berangkat pulang ke tanah air, barulah pihak MH dapat mengawal keadaan supaya perempuan di belakang dan lelaki di depan. Satu yangh mengkagumkan ialah sistem PA sistem sama ada di MN atau MH sangat canggih - Suara imam sangat jelas.
No comments:
Post a Comment