Wednesday, February 17, 2010

HAJI 4: MELAWAT TEMPAT-TEMPAT BERSEJARAH

Di Madinah, TH menganjurkan lawatan ke tempat-tempat bersejarah sehari sahaja. Tempat yang dilawati ialah Bukit Uhud, Masjid Quba’, Masjid 2 kiblat, sekitar masjid Nabawi, Perkuburan Baqi’ dan lain-lain lagi. Kita boleh juga menganjurkan lawatan sendiri dengan meminta pertolongan daripada pelajar-pelajar Malaysia yang belajar di Universiti Madinah. Semasa musim haji mereka cuti dan masa inilah mereka mencari wang sampingan dengan menjadi pemandu pelancong. Kita akan lebih menghayati tempat-tempat bersejarah jika kita mengetahui sejarah di sesuatu tempat. Misalnya di Bukit Uhud kita ditunjukkan satu bukit yang rendah, yang dinamakan bukit pemanah. Di bukit inilah tentera Islam berkubu mengadap bukit Uhud. Dan apabila tentera Islam turun dari bukit ini untuk mengambil harta rampasan mereka diserang. Apabila aku melihat jarak antara dua bukit ini iaitu Bukit Uhud dan Bukit Pemanah, aku dapat bayangkan betapa hebatnya pasukan pemanah ini. Jarak antara dua bukit ini agak jauh dan tentera Islam dapat mengalahkan tentera Musyrikin pada mulanya. Di sini apabila disebut bukit, bukitnya tiada pokok-pokok, gondol. Itulah keadaannya di Madinah atau di Mekah. Kita juga akan berasa sayu apabila menziarah maqam para syuhada’ perang Uhud. Kubur di sini tiada batu nisan. Tanahnya rata sahaja. Kalau adapun pada sesuatu kubur hanya diletakkan batu-batu bukit sebagai nisan. Kita juga dapat melihat keadaan seperti darah para syuhada’

Semasa melawat Masjid Qaba’, satu ilmu yang aku belum ketahui iaitu satu hadis Nabi yang bermaksud: sesiapa yang pergi ke Masjid Qaba’ dengan berwuduk dari rumah (hotel tempat penginapan), kemudian solat dua rakaat di Masjid Qaba’, maka pahalanya sama seperti ia menunaikan satu umrah. Masjid Quba’ ialah masjid pertama yang didirikan oleh Nabi SAW di Madinah. Aku rugi tidak mendapat fadhilat ini.

Aku syorkan kepada sahabat/sahabiah yang belum menunaikan haji, elok membeli dua buah buku yang    menceritakan tempat-tempat bersejarah supaya kita dapat lebih manfaat daripada lawatan yang kita buat. Buku bertajuk Sejarah Mekah dan Sejarah Madinah.
    Gambar atas: Bukit Pemanah    Bawah: Bukit Uhud.  Maqam syuhada di sebelah kanan gambar.

Di Madinah harga kurma agak murah kerana di sini terdapat banyak ladang kurma. Di Mekah tiada ladang kurma. Oleh itu harganya mahal di Mekah. Aku sangat suka memakan kurma yang fresh berwarna merah sepanjang lebih kurang 2 inci. Rasanya seperti makan buah ciku. Kelat. Di Madinah dari harga 15 Riyal, bila aku tawar dapat harga 5 Riyal sekg. Di Mekah harganya 10-15 Riyal. Sesiapa yang berhajat membawa kurma balik, aku syorkan agar diposkan sahaja. Mungkin kosnya lebih mudah berbanding membawanya bersama-sama semasa berangkat pulang. Lagi pun agak leceh nak bawa ke Mekah dulu kemudian baru balik.

Semasa mengikuti lawatan ini, aku agak terkilan dengan sikap pelajar yang menjadi pemandu pelancong. Ini kerana semasa akhir lawatan, pelajar ini mempromosi barangan yang mereka jual iaitu minyak wangi dan hati unta. Harganya sangat mahal. Kemudian dia memberikan harga yang telah didiskaunkan. Sebagai contoh harga hati unta 10 riyal tetapi selepas di diskaun, harganya 7-8 Riyal. Sebenarnya di kedai-kedai di Madinah yang telah aku pergi, harganya ialah 5 Riyal. Bagi aku apa salahnya dia berkata benar, memohon pertolongan daripada jemaah haji membeli barang yang dijualnya bagi membantunya untuk mencari dana untuk belajar. Mereka sebenarnya telah mendapat bayaran daripada TH. Jangan membuat perkara yang aku rasa satu penipuan. Menekan harga dari jemaah haji. Aku memang telah dipesan oleh abang ku untuk mencarikan hati unta untuk dibuat ubat anak saudaraku yang menghadapi penyakit lelah. Itu sebab, sebaik sampai di Madinah aku mencari hati unta di kedai di Madinah. Boleh dikatakan semua kedai menjualnya dengan harga 5 Riyal.

Satu yang menarik berkenaan Madinah ialah ianya sebuah bandar yang bersih. Sejuk mata memandang. Tidak seperti di Mekah. Ini kerana kemasukan jemaah haji di Madinah adalah terhad dan terkawal. Oleh itu kebersihannya dapat dijaga dan dikawal. Tidak seperti di Mekah, bandarnya kotar dan banyak sampah. Aku pernah melihat tukang sapu di Mekah tidur lena di atas timbunan sampah (kertas) di waktu panas terik (tengahari). Mengambarkan betapa dia terlampau letih menyapu 24 jam. Ini kerana orang yang datang ke Mekah terlalu ramai dan tidak terkawal. Apabila aku terkenangkan Madinah, hatiku rasa tenteram dan suasananya yang bersih, aman dan damai tidak dapat aku lupakan.

Di belakang Masjid Nabawi, terdapat bangunan-bangunan yang tersergam indah. Kebanyakannya menjual barang kemas. Di sini juga terdapat pasaraya yang mana di sinilah kalau kita nak jumpa wang siling Arab Saudi. Di lain-lain tempat, semua barang dijual dengan harga dalam riyal sahaja. Tiada nilai sen. Aku juga cuba mencari kedai makan di Madinah. Agak susah mencari kedai makan di sini. Di kedai makan, harga ikan agak mahal. Biasanya masyarakat ini makan nasi beraini dan ayam panggang. Aku cuba makanan ini walaupun tiada kuah. Aku kalau makan nasi tanpa kuah biasanya tidak berselera. Aku agak hairan kerana aku boleh makan nasi beraini tanpa kuah. Nasi di sini sedap. Aku tidak muak bila makan nasi ini berbanding di Malaysia. Sepinggan nasi di sini kita boleh makan seramai 3 orang. Begitu kuatnya masyarakat di sini makan. Sepinggan nasi dengan lauknya seekor ayam panggang yang sederhana besarnya.

Harga-harga pakaian di sini dan juga di Mekah agak murah. Sesiapa yang belum dan akan pergi menunaikan Haji aku nasihatkan agar tidak perlu membawa banyak pakaian. Cukuplah sekadar membawa 2 pasang baju melayu dan kain pelikat. Jubah-jubah di sini sangat murah. Serendah 10 riyal. Di Malaysia mana nak dapat harga macam ini. Begitu juga baju tebal / blazer / kot. Harga di Madinah blazer yang aku beli 30 Riyal tetapi di Mekah harga yang paling murah aku dapat ialah 15 Riyal. Berbanding aku beli di Malaysia, walau pun bandle harganya mencecah RM100.


Di Madinah, aku mengambil peluang memasuki tanah perkuburan Baqi’. Aku pergi tanpa kawan. Aku telah tersalah jalan kerana jalan yang aku lalui ialah laluan di mana untuk kaum wanita lalu. Aku lalu menentang arus. Agak sukar bagi aku untuk melepasi laluan ini kerana terlampau ramai orang. Kaum wanita dilarang daripada memasuki tanah perkuburan. Oleh itu mereka hanya berkumpul di bahagian hadapan pagar tanah perkuburan sahaja. Selepas berhempas pulas melepaskan diri dari kelompok orang ramai, aku dapat memasuki tanah perkuburan ini. Seperti di Bukit Uhud, perkuburan di sini rata dan hanya ditandakan dengan batu-batu bukit sahaja. Di sini tersemadi jasad Fatimah puteri rasulullah dan sahabat-sahabat Rasulullah. Walaupun aku mendapat peta kedudukan maqam Fatimah dan sahabat-sahabat dari jemaah haji Iran, tetapi aku tidak dapat membaca di mana kedudukan maqam-maqam tersebut.

Setelah 8 hari berada di Madinah, aku pun berangkat ke Mekah selepas solat asar. Pada sebelah pagi, aku pergi ke Maqam rasulullah dan sahabat sebagai ziarah selamat tinggal. Seperti mana waktu mula aku menziarah maqam Rasulullah, aku merasa sedih untuk meninggalkan tempat mula-mula Islam berkembang ini. Aku terkenang kembali hadis Nabi yang mengatakan sekiranya kita ziarah Nabi sewaktu beliau telah wafat, samalah seperti kita menziarahi baginda masih hidup. Terasa berat hati untuk meninggal Madinah kerana di sini tersemadi jasad kekasih Allah. Aku berdoa agar aku dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki agar satu hari nanti aku akan datang menziarahinya lagi.

No comments:

Post a Comment