Suatu perkara yang mengembirakan aku ialah sebelum aku berangkat ke Tanah Suci, Guru Besarku telah memanggilku. Dia mengucapkan tahniah sebab 1) Aku telah mendapat Anugerah Perkhidmatan Cemerlang bagi tahun 2004 2) Telah mendapat anjakan gaji sebab lulus PTK (TK1 : 4, 4). (Selepas pulang Haji aku mengambil ujian PTK (TK 2) dan alhamdulillah lulus 4, 4 dan mendapat anjakan lagi). Beliau menyatakan inilah rezeki orang pergi Haji.
Semasa perjalanan dari Kelana Jaya dan KLIA kita dapat rasakan bahawa kita menjadi tetamu Allah. Masa inilah kita rasa macam PM sebab perjalanan ke KLIA diiringi dengan motosikal dan kereta peronda Polis. Kalau lampu merah, bas yang membawa kita, tidak perlu berhenti. Inilah pengalaman pertama aku naik kapal terbang. Naik kapal terbang Saudi Arabia. Tempatnya sempit. Nak luruskan kakipun payah. Kena duduk di bahagian tengah. Masa untuk ke Madinah mengambil masa lebih kurang 12 jam kerana kapal terbang singgah di Riyad untuk mengisi minyak. Sepanjang penjalanan aku tidak putus-putus beristigfar dan mengucap disamping membaca doa agar perjalananku dipermudahkan. Sebenarnya aku ngeri naik kapal terbang sebab kalau apa-apa berlaku susah juga fikirku. Kalau naik kapal laut, apa-apa berlaku boleh cuba berenang dan berikhtiar cara-cara selamatkan diri. Tapi kalau kapal terbang bermasalah, aku fikir .............. Aku cuba berfikiran positif sepanjang perjalanan itu. Setakat ini, aku belum pernah dengar ada kapal terbang membawa jemaah haji terhempas. Walau bagaimana pun sepanjang penjalanan aku tidak dapat melelapkan mata.
Inilah juga pengalaman pertama aku melakukan solat subuh di dalam kenderaan. Mengamalkan ilmu yang sebelum ini hanya teori sahaja. Keadaan di dalam kapal terbang yang sangat sejuk menyebabkan aku terasa semput. Kami tiba di Madinah (hotel) sewaktu hampir zohor. Aku serta kaum keluarga ku menunaikan solat zohor di Masjid Nabawi (MN) tanpa sempat mengikuti imam MN. Selesai solat zohor aku duduk iktikaf di dalam masjid menunggu solat Asar. Selesai solat asar aku masih duduk dimasjid menunggu solat maghrib pula. Sementara menunggu Maghrib aku pergi ke suatu ruang di MN dimana kelas tahfiz diadakan. Dari kanak-kanak hingga remaja mengikuti kelas tersebut. Aku lebih berminat melihat kanak-kanak menghafal Al-Quran. Guru yang mengajar sangat garang. Mana-mana murid yang tak hafal, maka satu pelempang diberikan pada kanak-kanak. Aku berfikir, jika keadaan ini berlaku di Malaysia, dah lama guru tersebut kena tindakan. Aku berkenalan dengan seorang jemaah dari Indonesia. Muda lagi. Aku bertanyakan beliau, dimanakah tempat yang dinamakan Raudah. Sewaktu hari hampir maghrib, beliau menunjukkan aku tempat yang dinamakan raudah itu. Memang ramai orang dan amat sukar untuk memasukinya.
Sepanjang 8 hari berada di Madinah berbagai perkara yang menarik perhatian ku. Di Madinahlah kita boleh melihat pelbagai bangsa dan budaya yang ada di dunia. Ini kerana di sini, setiap negara akan memakai pakaian mengikut negara masing-masing. India, Turki, Indonesia, China dan lain-lain memakai baju beridentiti negara masing-masing. Jemaah Malaysia agak kurang beridentiti. Ada tak ada dengan pakaian baju melayu. Pesanan orang yang telah pergi haji kepadaku ialah bawalah baju melayu sebagai identiti Malaysia. Aku membawa 2 helai baju melayu dan kain pelikat. Masyarat madinah sangat menghormati orang Malaysia. Kalau kita pergi ke kedai-kedai mereka akan memuji Malaysia Bagus. Inilah perkataan yang sering keluar dari mulut masyarakat Madinah.
Masyarakat Madinah lemah-lembut. Menghormati orang lain. Lantas aku terkenang perjuangan Rasulullah. Islam yang dibawa oleh baginda mudah diterima di Madinah. Aku rasa sikap orang Madinah sekarang tidak jauh bezanya dengan sikap mereka dahulu. Madinah sebuah bandar yang bersih dan tersusun kedudukan bangunannya. Bangunannya moden-moden. Hotel penginapanku terletak di bahagian belakang Masjidil Nabawi. Dah tak ingat namanya. Sehingga kita aku dapat membayangkan suasana Madinah yang tenang, bersih dan bersinar-sinar. Jauh berbeza suasana di Mekah. Dari segi bahasa pun tiada masalah. Kebanyakan peniaga tahu bercakap BM. Papan tanda pun ada dalam BM. Macam mana pemimpin UMNO boleh gunakan Bi dalam MTSN. Pada hal BM merupakan bahasa yang digunakan diperingkat antarabangsa. Mana-mana yang tak tahu BM, aku akan menggunakan bahasa Inggeris atau B. Arab yang simpel-simpel. Seperti rijal, nisa’, kabir, sugra, halal, haram merupakan bahasa yang biasa digunakan dalam urus niaga. Sesiapa yang boleh menguasai b. Arab asas, satu kelebihan di sana. Tawar-menawar harga di Madinah tiada masalah.
Sepanjang berada di Madinah aku berkenalan dengan beberapa jemaah dari negara luar. India, pakistan, China, Algeria, Pelastin, Indonesia dan lain-lain lagi. Di sinilah kita dapat rasakan firman Allah yang bermaksud Aku jadikan kamu daripada pelbagai bangsa untuk kamu berkenal-kenalan........
Suatu hari, sewaktu hampir solat maghrib, aku duduk bersebelahan orang Pelastin. Aku bertanya dari mana dia datang? Setelah mengetahui dia orang Palestin, aku menyatakan sokongan ku terhadap pejuang hamas. Beliau menceritakan tentang jihad. Tapi sampai satu tahap, aku tidak memahami apa yang beliau katakan. Nak kata cakap BI rasa macam bukan cakap BI. Bunyilah macam bahasa Arab. Aku pun mati kutu, tak dapat meneruskan perbualan kerana tak faham apa yang dicakapkannya. Kami berhenti berbual. Selepas solat maghrib aku dan orang Pelastin tersebut menunggu waktu Isya. Dia bersandar di tiang masjid mengadap aku dan berbual dengan rakannya. Aku duduk mengadap kiblat. Tiba-tiba satu soalan beliau mengejutkan aku. Dia bertanya TEACHER?? Aku menjawab; Yes, I’m a teacher. Aku bertanya kembali: How do you know? Dia menjawab: I’m teacher. Aku pelik sebab aku pakai kain dan baju melayu. Bagaimana dia tahu aku Cikgu. Sebelum ini ada 2 kes orang yang tanya soalan yang sama. Pertama seorang polis, semasa aku nak selesaikan kes kereta aku di black list. Anggota polis tu tanya, encik ni cikgu ke? Aku tak pelik sebab mungkin cara aku berpakaian dia dapat agak. Satu lagi orang Pakistan jual karpet. Aku tak pernah berjumpa dengannya sebelum ini dan itulah kali pertama aku pergi ke kedainya. Dia tanya, abang ni cikgu ke? Aku tanya macam mana awak tahu. Dia kata cara aku bercakap macam cikgu. Aku dapat simpulkan bahawa jika kita menghayati pekerjaan kita, ianya boleh mendedahkan identiti pekerjaan kita.
Di Madinah, aku sering melihat jemaah Acheh dari jauh. Aku tidak berkesempatan berjumpa dengan mereka. Aku berdoa untuk berkenalan dengan mereka dan ingin menyumbang sedikit wang. Allah memakbulkan permintaan ku pada 26 Disember 2005. Tarikh tersebut ialah setahun selepas berlakunya tsunami. Semasa menunggu masauknya waktu maghrib, seorang jemaah dari Acheh duduk di sebelahku. Aku bertanya tentang tsunami yang berlaku. Beliau berkata tidak ramai keluarganya yang meninggal akibat tsunami. Aku menghulurkan sedikit wang kepadanya sebagai derma. Aku katakan kepadanya, sebelum ni aku ada menderma untuk rakyat Acheh. Tapi aku akan rasa puas jika aku dapat menderma terus kepada orang Acheh. Dia menolak dan memohon agar aku doakan kesejaheraan bagi mereka yang terkorban. Selepas solat Maghrib beliau memohon diri untuk pergi. Tidak semena-mena dia terus memeluk ku . Kami menangis. Beliau berbisik kepada ku mengatakan kita adalah bersaudara. Dia memohon lagi sekali agar aku berdoa ke hadrat Allah taala agar mangsa tsunami Acheh diampunkan dosa oleh Allah Taala dan ditempatkan bersama-sama orang yang soleh. Aku dapat rasakan bagaimana islam telah mengikat hati kami.
Satu perkara yang aku lihat ialah amalan kurafat yang dilakukan berhampiran maqam Rasulullah. Ramai jemaah yang aku lihat menyapu serban-serban mereka di grill dimana maqam rasulullah dan sahabat-sahabat diletakkan. Kononnya untuk mengambil berkat. Segala benda yang menjadi penghadang di maqam nabi diusap-usap kononnya ambil berkat. Sebab itu terdapat beberapa orang askar mengawal kawasan ziarah menghalang orang ramai daripada hampir ke grill maqam rasulullah. Jika kita menziarahi makam ini, keadaannya terlalu sesak apabila berada di hadapan maqam. Kita juga dilarang untuk berdoa dengan mengadap maqam Rasulullah. Kita disurah mengadap kiblat. Jika kita berdoa mengadap maqam Rasulullah kita akan dihalau. Aku agak sayu apabila berada berhampiran maqam rasulullah dan sahabat-sahabat. Aku teringat hadis rasulullah yang bermaksud lebih kurang; sekiranya kamu menziarahi aku selepas aku wafat, sama seolah-olah kamu menziarah ku sewaktu aku masih hidup. Sewaktu memberi salam kepada rasulullah dan sahabat-sahabat, tanpa ku sedari air mataku mengalir. Aku terasa seolah-olah Rasulullah masih hidup. Aku terkenang sewaktu di penghujung usia baginda, sewaktu beliau uzur dan melihat sahabat-sahabat menanti beliau untuk solat berjemaah. Aku dapat gambarkan jarak antara rumah rasulullah dan masjid. Maqam baginda sekarang adalah rumah baginda. Oleh itu, semasa berada di Masjid Nabawi segala cerita-cerita yang dipelajari melalui sirah, kita boleh membuat gambarannya.
Aku berpeluang memasuki ruangan Raudhah hanya 2 kali. Kali pertama masuk agak padat dan sewaktu menunaikan solat sunat aku kurang kusyu’ kerana orang berebut-rebut memasukinya. Kadang-kadang kita dilangkah, ditolak dan lain-lain lagi. Di Raudhah jika kita berdoa menadah tangan, tangan kita akan dipukul dan kita dihalau. Peristiwa ini berlaku kepada seorang jemaah haji yang tua, mungkin dari pakistan. Seorang tentera memarahi beliau dan disuruh keluar. Aku diberitahu, di Raudhah, kalau nak berdoa, doalah semasa sujud. Seorang jemaah Haji dari India mencerita kepada ku, beliau telah bebarapa kali berpeluang untuk memasuki kawasan Raudhah. Katanya, kalau nak masuk kawasan Raudhah, pergilah jam 9.00 malam. Orang kurang. Masjid Nabawi ini akan ditutup selepas Isya dan di buka jam 2.00 pagi. Selepas solat Isya (sekitar jam 7.00 ++ malam, aku merayap di sekitar gerai berhampiran perkuburan Baqi untuk menanti jam 9.00. Pada jam 8.45 , aku pergi ke kawasan Raudhah, dan memang benar, orang kurang dan aku dapat solat dengan tenang.
Di Masjid Nabawi ini, jemaah lelaki dan perempuan diasingkan. Oleh itu, aku bersyukur isteriku dapat menunaikan haji bersama-sama. Dengan itu, dia boleh membantu ibuku semasa pergi ke Masjid Nabawi. Bayangkan bagaimana seorang ibu yang telah tua, pergi ke Masjid Nabawi jika tiada anak/menantu perempuan.
No comments:
Post a Comment