Wednesday, February 17, 2010

HAJI 7: Wak Mail

HAJI 6: BERTAKBIR MEMOHON PERTOLONGAN ALLAH

Selesai menunaikan solat jumaat, aku menyorong ibuku untuk pulang ke hotel. Aku melalui jalan di mana aku masuk, iaitu di sebelah Bukit Marwah. Oleh kerana ini kali pertama aku ke masjidil haram, aku keliru mana satu jalan yang aku gunakan masuk ke MH. Ini kerana di penghujung jalan, terdapat sedikit anak tangga. Semasa masuk, aku tidak menaiki anak tangga. Alhamdulillah, jemaah haji lain yang melihat aku hendak melalui anak tangga, mereka membantuku mengangkat kerusi roda ibuku. Terasa wujudnya perpaduan Islam dan persaudaraan sesama Islam. Aku melalui deretan kedai gunting rambut dengan menuruni bukit. Di penghujung jalan menuruni bukit, adalah jalan jemaah yang keluar dari tingkat bawah MH. Jalan seperti simpang tiga. Di simpang tersebut terdapat beberapa blok batu yang terdapat laluan dicelahnya memisahkan jalan yang aku lalu menuruni bukit dengan jalan dari tingkat bawah MH yang menaiki bukit. Di simpang tersebut aku akan membelok ke kiri. Iaitu dari menuruni bukit dan setelah melalui celah blok batu aku akan ke kiri menaiki bukit pula. Perjalanan menjadi terlampau sesak. Orang dari belakang, kiri dan kanan ku menolak antara satu sama lain. Kami tidak boleh bergerak disebabkan tidak dapat melepasi blok batu kerana jemaah yang keluar dari tingkat bawah MH juga terlampau sesak. Traffic jem. Bukan kenderaan tetapi jemaah yang berjalan kaki. Aku tidak boleh melangkah ke hadapan kerana orang dihadapan juga tidak bergerak. Nak mengundur ke belakang atau bergerak ke kiri dan ke kanan memang tak boleh. Di saat itu, aku berfikir beginikah keadaannya apabila kita berkumpul di Padang Masyhar? Ianya menginsafkan. Dalam keadaan tolak menolak itu, getah tayar kerusi roda ibuku terlucut akibat ditekan dan ditolak oleh jemaah dari arah belakang, kiri dan kanan. Aku rasa tak terdaya untuk menahan kerusi roda ibuku. Maklumlah sedang menuruni bukit. Sampai satu tahap, aku berfikir ingin melepaskan sahaja kerusi roda itu dari peganganku. Tapi aku berfikir apa yang akan berlaku kepada Ibuku. Ibu ku mungkin akan mati akibat tiada yang mengawal kerusi rodanya dan akan dipijik oleh jemaah yang terlalu ramai tersebut. Dalam keadaan panik itu, aku teringat kisah 3 orang lelaki yang terkurung dalam sebuah gua telah diberi pertolongan oleh Allah dengan cara mereka bertawasul terhadap amalan baik yang mereka amalkan. Lantas di dalam hati, aku berkata : Ya Allah, Aku telah berusaha agar ibuku dapat menunaikan fardu Haji. Oleh itu tolonglah aku dan selamatkanlah ibuku. Selesai aku berkata-kata demikian di dalam hati, lantas aku bertakbir dengan kuat sebanyak 3 kali. Selesai aku bertakbir, tiba-tiba aku dapati di sekeliling ku dan ibuku lapang dalam bentuk bulatan. Aku dan ibuku seperti dipagar. Aku dan ibuku dapat melepasi blok batu penghalang itu dengan mudah dan membelok ke kiri mendaki bukit juga dengan mudah. Keadaan aku dan ibuku seperti dikepung dalam bulatan berlaku sehinggalah aku melalui jalan yang kurang padat jemaah. Selepas itu, perjalanan pulang ku lancar.

Setibanya di hotel dan sehingga saat ini, aku masih terkejut dengan peristiwa aku seperti dikepung dalam bentuk bulatan. Tetapi aku yakin itu pertolongan Allah yang aku terima di saat aku melalui keadaan kritikal. Aku bersyukur kerana Allah telah menolongku. Peristiwa aku tidak dapat melangkah kehadapan disebabkan terlampau padat jemaah haji menyebabkan aku hanya menunaikan solat di masjid yang berhampiran hotelku sehinggalah keadaan di MH tidak padat. Aku menjadi trauma. Apatah lagi pihak TH menasihatkan agar bersembahyang di masjid / surau berhampiran kerana bilangan jemaah haji yang masuk ke Mekah semakin ramai kerana hari wukuf semakin hampir. Ianya juga bagi tujuan keselamatan kerana kerja-kerja (rukun-rukun) haji belum dilakukan lagi. TH ingin memastikan jemaah haji dalam keadaan sihat dan kuat kerana ibadah haji memerlukan kekuatan fizikal dan mental.

Di Mekah, setiap kali selepas solat waktu, semua jalan raya akan ditutup kepada semua kemderaan. Ini bagi memberi peluang jemaah haji balik ke hotel dengan selamat. Selepas waktu solat, kita akan dapati semua jalan raya kelihatan putih di sebabkan warna pakaian yang dipakai oleh jemaah haji. Apabila jemaah haji telah berkurang kerana telah kembali ke tanah air, jalan tidak ditutup kepada kenderaan selepas selesai solat waktu. Jalan raya akan bertambah sesak disebabkan peniaga-peniaga haram menjual barangan mereka disepanjang jalan dengan cara menghampar kain. Aku katakan haram kerana jika penguatkuasa lalu mereka dengan cepat akan mengikat barang yang dijual dengan kain hamparan tersebut dan lari lintang pukang. Kebanyakan mereka aku dapati orang Afrika. Biasanya mereka menjual jubah, tudung, kopiah, jam dan lain-lain lagi. Satu lagi barang yang banyak dijual oleh warga Afrika ini ialah ubat kuat. Aku sering ditawarkan ubat ini. Biasanya barang tersebut tidak dipamerkan. Apabila kita lalu di depan mereka, mereka akan kata;, aji kuat, aji kuat. Itulah perkataan yang mereka sebut. Yang tak tahu cakap melayu, mereka akan sebut, aji dan kemudian menunjukkan isyarat lucah. Aku hanya menggelengkan kepala kerana bagi aku kalau setakat pergi Mekah untuk mencari benda tu, buat habis wang dan masa. Kalau setakat nak cari ubat tu aku fikir di Malaysia berlambak. Kita nak kuat banyak mana. Kalau ada ubat yang boleh beri aku kuat beribadat, boleh lah aku beli.
Satu perkara yang menjadi kebiasaan kita apabila berada di Mekah bahkan juga di Madinah ialah selepas menunaikan solat sunat ba’diah , kita akan mengerjakan solat jenazah. Sepanjang aku berada di madinah, hanya tiga kali selepas solat sunat ba’diah yang tiada solat jenazah. Ini bererti pada waktu itu tiada jemaah yang meninggal dunia. Tetapi sepanjang aku berada di Mekah, setiap waktu ada solat jenazah. Aku sering solat di tingkat satu, dan dibarisan hadapan supaya aku dapat memandang baitullah. Ini kerana mengikut ilmu yang aku pelajari ada beberapa perkara yang kalau kita pandang sahaja, kita akan mendapat pahala, iaitu: memandang wajah ibu kita, al-Quran, Baitullah dan Telaga Zam-Zam. Malangnya sekarang telaga zamzam ditutup daripada dimasuki oleh orang ramai. Aku selalu memastikan kedudukan aku berada diantara Hajartul aswad dan pintu kaabah. Kawasan ini dinamakan Multazam. Multazam adalah di antara tempat berdoa yang mustajab. Sepanjang aku menunaikan solat di MH aku berada di kawasan Multazam kecuali 2 kali iaitu semasa kali pertama memasuki MH dan pada suatu hari aku solat Asar mengelakkan daripada terkena panas cahaya matahari. Hari itu, aku mengambil kedudukan dengan mengadap bahagian pancuran emas.

Aku dapat membuat kesimpulan perbezaan di Masjid Nabawi(MN) dan Masjidil Haram (MH) adalah seperti berikut:

Masjid Nabawi Masjidil Haram
Jemaah lelaki dan perempuan diasingkan Jemaah lelaki dan perempuan bercampur
Tempoh antara azan dan iqamat panjang (20 – 30 minit). Seperti di Malaysia pendek
Terdapat Imam yang kita boleh dengar membaca Bismillah sebelum fatihah. Tidak dengar imam membaca Bismillah
Seni binanya halus dan menarik Biasa sahaja.
Terdapat pegawai masjid yang akan memastikan saf-saf dihadapan / di dalam masjid dipenuhi terlebih dahulu Pegawai masjid mengawal pintu masuk sahaja.
Masjid ditutup lebih kurang jam 10.00 mlm dan dibuka jam 2.00 pg. 24 jam buka.
Keliling masjid terdapat tandas Hanya ada satu tandas sahaja di bahagian tepi tempat saie. (Yang aku tahu, sebab aku tidak melawat keliling kawasan masjid)
Ada solat tahyatul Masjid. Tiada solat sunat tahyatul masjid tetapi diganti dengan tawaf sunat.
Ada waktu-waktu tertentu tidak boleh mengerjakan solat sunat. Boleh mengerja solat sunat sepanjang masa.




Di hotel, aku tinggal bersama dengan 7 lagi jemaah haji dari perak. Ada dikalangan mereka yang ditakdirkan dari kampung ku dan yang tinggal di kampung yang berdekatan dengan kampung ku. Terdapat dua orang warga emas. Seorang Wak Mail dan seorang lagi dipanggil Pak Ngah. Aku sangat kesian kepada Wak Mail kerana beliau menunaikan haji tanpa waris. Umur beliau hampir 80 tahun tetapi aku tengok orangnya masih sihat. Maklumlah orang Jawa. Sepanjang berbelas tahun aku bergaul dengan orang Jawa, aku dapati masyarakat Jawa panjang Umur dan sentiasa sihat. Mungkin itu rahsia mereka makan tempe. Menurut orang-orang kampung Wak Mail, beliau seorang yang handal. Aku bertanya, mengapa mereka berkata demikian. Mereka menjelaskan Wak Mail akan berbasikal dari kampungnya di Sungai Kerang, seberang Perak untuk ke Bandar Teluk Intan. Beliau telah beberapa kali telah dilanggar oleh lori, tapi Wak Mail tidak mengalami apa-apa kecederaan. Anaknya mengamanahkan salah seorang daripada jemaah haji yang tinggal sekampung dengannya untuk menjaga Wak Mail. Tapi malangnya orang yang diamanahkan tidak dapat menjalankan amanah tersebut. Ini kerana beliau juga perlu menguruskan isterinya. Nasihat aku kepda sahabat-sahabat, agar jangan biarkan orang tua kita lebih-lebih lagi yang uzur menunaikan haji dengan menumpang orang lain. Takut terjadi sebagaimana Wak Mail. Terbiar. Semasa di Madinah, Wak Mail seperti orang kebingungan. Dia telah tersalah masuk bilik dan menyelongkar beg jemaah haji lain. Dia menyatakan duitnya telah hilang. Bila jemaah haji tersebut masuk ke biliknya, dia menuduh Wak Mail sebagai pencuri. Tetapi apabila diterangkan kepada jemaah tersebut keadaan Wak mail yang dalam keadaan bingung, jemaah haji tersebut memahami keadaan Wak Mail. Sebenarnya wang Wak Mail tidak hilang, cuma dia mencari duitnya di beg orang lain.

Satu lagi peristiwa yang menghairankan dan memeningkan pegawai TH ialah semasa melalui imegrasen di Madinah waktu mula sampai, Wak Mail tidak menyerahkan paspotnya tetapi beliau mendapat kad yang menunjukkan beliau telah menyerahkan pasportnya seperti mana orang lain. Beberapa hari sebelum bertolak ke Mekah, pegawai TH pening kepala sebab pasport Wak Mail tiada dalam simpanan mereka. Jika ini berlaku, Wak Mail tak boleh masuk Mekah dan tidak boleh pulang ke Tanah air. Bila ditanya kepada Wak Mail tentang pasportnya, beliau hanya menjawab: Entah mana aku tahu. Pegawai TH menjadi rungsing. Entah bagaimana salah seorang orang kampungnya berfikir untuk memeriksa beg besar Wak Mail yang masih berikat. Beliau meminta izin daripada Wak Mail untuk memeriksa begnya. Beliau izinkan. Apabila diperiksa, pasport nya ada di dalam beg tersebut. Pegawai TH hairan, bagaimana Wak Mail boleh melepasi kaunter imegrasan di lapangan terbang tanpa menyerahkan pasport, sebaliknya pegawai imegrasan Arab Saudi memberikannya kad yang menunjukkan dia telah menyerahkan pasportnya.

HAJI 5: PERJALANAN KE MEKAH

Sebelum bertolak ke Mekah, isteriku mencadangkan supaya aku membeli kerusi roda untuk ibuku kerana ibuku tidak boleh berjalan jauh. Kami ke farmasi di Madinah dan membeli sebuah kereta roda berharga 250 riyal., Murah berbanding di Malaysia RM400 ke atas. Kerusi roda ni kita tulis sahaja nama dan no. Bilik serta nama hotel, insyaAllah tidak hilang walaupun disumbat di mana-mana kenderaan. Semasa hendak ke Mekah, barang-barang yang hendak di bawa, dikumpulkan di satu tempat dan petugas-petugas muasasah akan mengangkutnya. Kita hanya membawa beg sending yang diberi TH. Kami mandi sunat ihram , dan mengenakan pakaian ihram.

Pemandu bas yang membawa aku ke Mekah adalah rakyat Mesir. Boleh dikatakan semua petugas-petugas haji adalah rakyat luar Arab saudi. Orang Arab Saudi jadi tokey-tokey. Kami menunaikan solat Maghrib dan Isya’ di Masjid Bir Ali. Kami juga menunaikan solat sunat ihram dan berniat. Masjid ini adalah tempat dimana kita berniat ihram (miqat) untuk menunaikan haji / umrah. Aku berniat untuk membuat Haji Tamatuk memandangkan masa untuk wukuf lebih kurang 2 minggu lagi. Haji Tamatuk adalah kita mengerjakan umrah terlebih dahulu diikuti dengan Haji. Satu lagi ialah Haji Ifrad iaitu mengerjakan Haji dahulu kemudian Umrah. Haji Tamatuk dikenakan dam (seekor kambing) tetapi Haji Ifrad tidak dikenakan dam. Ini kerana untuk menjaga pantang ihram bagi Haji Ifrad lebih susah berbanding Haji Tamatuk. Selain itu ada satu lagi jenis haji iaitu Haji Qiran dimana kita niat haji dan umrah serentak.

Aku menempuh perjalanan ke Mekah dalam tempoh 10 jam. Sebaik sahaja ingin memulakan perjalanan aku tidak putus-putus membaca doa yang bermaksud; Ya Allah, permudahkan urusanku dan jangan menyusahkanku serta sentiasa beristigfar. Sepupu ku menyuruh aku memimpin bacaan talbiah. Aku menyuruhnya memulakan dahulu. Oleh sebab aku duduk di bahagian hadapan, aku bangun dan memaklumkan kepada para jemaah agar kita sama-sama bertalbiah dan bergilir-gilir memimpinnya. Sepupuku memulakan memimpin bacaan talbiah. Bila kita membaca Talbiah wujud perasaan syahdu di dalam hati kita. Apatah lagi apabila kita menghayati maksudnya iaitu: Hamba Mu datang menyahut panggilanMu. Ya Allah, hambaMu datang menyahut panggilanMu, hamba Mu datang menyahut panggilanMu, Tuhan yang tidak ada sekutu bagiMu, hamba Mu datang menyahut panggilanMu, sesungguhnya segala pujian, nikmat dan pemerintahan adalah kepunyaanMu, tidak ada sekutu bagiMu. Bila kita membacanya dengan menghayatinya air mata kita akan mengalir.

Satu perkara yang merisaukan aku ialah kalau nak buang air besar / kecil. Di sini walaupun jalannya luas macam highway tapi kemudahannya tidak seperti di Malaysia yang menyediakan pelbagai kemudahan.Semasa bas berhenti mengisi minyak, ada jemaah yang hendak membuang air kecil tetapi tiada tandas. Maka mereka membuang air kecil di merata tempat yang terlindung. Tidak kira lelaki atau perempuan.

Selepas berhenti mengisi minyak, bas meneruskan perjalanan. Tiba-tiba aku rasa perut ku sakit. Keadaan inilah yang sangat merisaukan aku. Bagaimana aku nak beritahu pemandu? Ada ke tempat untuk membuang air besar? Aku terus berdoa agar Allah permudahkan urusanku. Alhamdulillah, tidak berapa lama, tiba-tiba bas berhenti di sebuah kedai makan. Aku bersyukur kerana Allah telah memudahkan urusan aku. Aku mencari tandas di kedai tersebut dan Alhamdulillah ada. Tapi tandasnya terlampau kotor. Aku rasa kedai dan tandas ini dibuka semasa musim haji sahaja. Selepas menunaikan hajat, aku ke kedai memesan kopi dan bertegur-sapa dengan pemandu bas. Aku berkomunikasi dengannya hanya menggunakan bahasa isyarat sahaja.

Kemudian kami meneruskan perjalanan. Sepanjang perjalanan tiada apa yang menarik pemandangan kecuali bukit-bukau dan gunung-ganang yang terdiri daripada batu-batu. Tidak kelihatan kawasan perumahan / perkampungan. Wujud dalam pemikiranku, bagaimana susahnya nabi berhijah dahulu. Tiada highway macam sekarang Merentasi gugung-ganang dan bukit-bukau. Begitu susahnya Nabi berjuang untuk Islam, tiba-tiba kita sebagai umatnya tidak mengamalkan segala seruannya. Tidak menyokong perjuangan menegakkan menegakkan negara Islam. Aku insaf bila memikirkan susah-payah nabi mengembangkan Islam.

Semasa perjalanan, tiba-tiba bas berhenti di tepi jalan. Dimaklumkan bahawa penutup barang di atas bas terbuka. Pemandunya turun membetulkannya. Agak lama bas berhenti. Ada seorang jemaah yang memberitahu aku supaya kami mengutip sedikit wang dan diberikan kepada pemandu bas tersebut. Mungkin pemandu tersebut hendakkan wang baksis. Baksis bahasa mudahnya ialah wang poket. Memang terdapat pemandu yang melambat-lambatkan perjalanan bertujuan meminta wang baksis ini. Mereka akan membuat pelbagai kerenah untuk mendapatkan wang baksis ini. Aku menyatakan kepada jemaah tersebut, aku yakin pemandu tersebut memang membetulkan kanves yang menutup barang-barang di atas bas. Semasa berhenti di kedai makan dan aku berkomunikasi dengannya, aku dapat membaca sifat peribadinya yang bukan jenis yang suka menyusahkan orang / meminta baksis. Memang selesai membetulkan kanves tersebut, beliau meneruskan perjalanan tanpa meminta wang baksis.

Perjalanan kami seterusnya lancar tanpa ada apa-apa halangan. Dalam perjalanan, kami melalui beberapa sekatan di mana pasport diperiksa dan di suatu tempat semua jemaah dihadiahkan dengan makanan / biskut, kurma dan air zamzam oleh kerajaan Saudi. Tidak lama kemudian aku dapat melihat batu tanda yang memisahkan tanah haram dan tanah halal. Ini menandakan perjalanan kami telah hampir menuju Mekah. Aku sampai di hotel penginapan iaitu Hotel Marwah An-Naqa lebih kurang jam 3.00 pagi. Hotel ini terletak di sebelah Bukit Marwah. Syeikh Muasasah menyambut kami dengan mesra sambil mengucapkan tahniah kerana kami telah dipilih menjadi tetamuNya. Beliau fasih berbahasa Melayu. Beliau menyatakan sebarang masalah yang dihadapi bolehlah dimaklumkan kepada beliau dan pembantu-pembantunya. Aku ditempatkan di Maktab 52. Di sekitar hotel / maktab ini terdapat pasar basah- menjual sayur-sayuran, daging dan kedai-kedai Indonesia. Di hotel ini keadaan lift agak kecil berbanding di Madinah. Begitu juga dengan keadaan hotel yang kurang ceria berbanding di Madinah. Cuma yang baiknya ialah keseluruhan hotel ini dipenuhi oleh orang Malaysia. Jadi, penggunaan lift tiada masalah. Semasa di Madinah, hotel yang aku diami berkongsi dengan orang Turki. Saiz orang Turki walaupun hampir tinggi dengan orang malaysia tetapi badan mereka dua kali ganda orang Malaysia. Bila masuk lift, hanya beberapa orang yang dapat naik. Bayangkan kalau orang Malaysia masuk lift, katakan 15 orang, kalau orang Turki naik lift, mungkin hanya muat 8-9 orang. Di Madinah kadang-kadang aku turun guna tangga walau pun duduk di tingkat 13. Masa naik kena gunakan tangga sampai tingkat 3 @ 4, baru guna lift. Kalau tunggu lift di bawah, lambatlah jawabnya. Satu perangai orang Turki yang aku tengok, kalau dia lambat masuk lift, tiba-tiba over load, dia buat tak tahu, kita yang kena mengalah.

Petugas TH memaklumkan bahawa esok selepas solat subuh kami akan ke masjidil haram untuk membuat tawaf umrah (bagi yang berniat Haji tamatuk) @ tawaf Qudum – Tawaf selamat datang (bagi yang berniat haji ifrad).

Esoknya selepas solat subuh kami berkumpul untuk dibawa ke Masjidil haram. Aku dan isteri mengambil keputusan bahawa sepanjang mengerjakan tawaf dan saie umrah nanti, aku akan mengerjakannya bersama ibuku, dan isteri ku akan bersama kakakku. Kami buat keputusan ini untuk memudahkan kami agar tidak berlaku keadaan tunggu menunggu. Oleh kerana aku membawa / mengiringi ibuku, sudah tentu lambat untuk menyelesaikan sesuatu ibadat itu. Jadi aku tidak mahu isteri dan kakak ku membuang masa menunggu aku dan ibu melakukan ibadat. Kalau mereka habis cepat, mereka akan terus pulang ke hotel. Pagi itu adalah hari Jumaat. Aku membawa ibuku dengan menolak kerusi rodanya. Kami dibawa mengikuti lorong yang agak sempit di mana dikiri kanan jalan terdapat kedai-kedai lama. Terdapat sebuah masjid yang menjadi mercu tanda tempat itu yang dipanggil Masjid Kucing. Aku pun tak tahu kenapa masjid itu dipanggil masjid kucing. Mungkin sebab di situ banyak kucing. Oleh sebab berkerusi roda, aku dan isteri melakukan tawaf di tempat berasingan. Aku di tingkat 1 di mana satu ruangan telah disediakan untuk jemaah haji yang menggunakan kerusi roda. Isteriku melakukannya di dataran tawaf dengan melalui pintu Babus Salam. Petugas haji mengarahkan aku untuk masuk ke masjidil haram melalui Bukit Marwah dimana tempat ibadah saie dilakukan. Aku terus berjalan dengan menghala ke bukit Safa’ dan mencari-cari dimanakah tempat tawaf. Petugas TH menunjukkan jalan untuk ke ruang tawaf.

Tibat-tiba aku ternampak satu objek hitam ditengah-tengah tempat tawaf. Aku mengucapkan syukur dan mengucap dua kalimah syahadah. Sekarang aku telah melihat baitullah secara terus. Aku mencari rukun Yamani dan Hajar Aswad untuk aku mengadap Baitullah untuk memulakan tawaf. Bagi memudahkan untuk memulakan tawaf, aku mencari lampu berwarna hijau yang menandakan tempat permulaan tawaf. Aku melakukan perkara yang sunat dilakukan sebelum mengerjakan tawaf. Waktu itu hanya perasaan gembira sahaja timbul di dalam hatiku.

Apabila habis tawaf pertama aku membaca doa seperti mana yang terdapat dalam buku yang dibekalkan oleh TH. Aku membaca dalam bahasa melayu supaya aku lebih khusyuk dan memahami apa yang aku baca. Apabila tiba ayat: Ya Allah, sesungguhnya aku meminta kepada Mu keampunan, kesihatan yang sempurna dan penolakan yang berkekalan dari bala bencana sama ada pada agama dan akhirat serta mendapat kemenangan dengan beroleh syurga dan keselamatan dari api neraka, tiba-tiba aku menangis semahu-mahunya. Aku terasa diri ini terlalu dekat dengan Allah taala. Doa yang aku baca menyentuh hatiku yang datang menjadi tetamuNya dengan membawa dosa yang banyak. Begitulah apabila selesai satu pusingan tawaf aku akan membaca doa seperti mana yang terdapat dalam buku Doa-Doa dan panduan Solat Sunat di Tanah Suci yang dibekalkan oleh TH sehinggalah pusingan ke 7. Setiap doa mengandungi kata-kata keampunan dan dijauhkan dari api neraka. Semasa aku membaca buku ini di Malaysia, hati ku tidak terasa apa-apa. Tetapi apabila dibaca di depan baitullah, aku dapat merasakan betapa banyaknya dosaku dan ianya menusuk ke dalam hati. Sepanjang berdoa aku menangis semahu-mahunya tanpa rasa malu. Ianya berlaku kerana datangnya dari hati dan bukan dibuat-buat atau dipaksa-paksa. Aku tidak tahu sama ada ibuku menangis bersama kerana semasa berdoa tumpuan ku 100% kepada Allah Taala. Selepas itu aku menunaikan solat sunat dua rakaat. Di tingkat satu, aku melakukan tawaf memakan masa lebih kurang 1 jam 30 minit.

Selesai bertawaf , aku melakukan ibadah saie. Juga di tingkat satu, dilorong khas pengguna kerusi roda. Bermula di sebelah bukit Safa’ dengan mengangkat kedua belah tangan, melambai-lambai hala ke Baitullah tiga kali dengan bertakbir aku memulakan saie. Di tingkat satu, tiada kawasan yang berbukit. Rata sahaja laluannya. Di sini para remaja di Arab Saudi menambah pendapatan mereka dengan mengambil upah menolak kerusi roda bagi jemaah haji yang tua @ uzur. Apabila aku melihat mereka menolak kerusi roda, rasa nak ketawa ada, rasa nak marah pun ada. Apa tidaknya, mereka menolaknya dengan sangat laju dan apabila sampai satu tahap mereka bergayut di kerusi roda untuk mengelakkan penat. Aku kesihan kepada jemaah haji yang tua @ uzur kerana kalau dihentikan secara mengejut, takut mereka akan terpelanting. Maklumlah tak pakai tali pinggang keledar dan dibawa dengan sangat laju. Mereka berbuat demikian untuk mencari wang sebanyak mungkin. Cepat siap, cepatlah dapat pelanggan baru. Upahnya mencecah hingga 350 riyal seorang. Aku rasa dalam masa 30 minit mereka boleh selesaikan untuk seorang jemaah. Aku selesai bersaie lebih kurang jam 9.00 pagi. Di Masjidil haram sebenarnya kita boleh meminjam kerusi roda yang diwakafkan oleh orang ramai tanpa bayaran. Kita boleh menggunakannya sepanjang musim haji dan memulangkannya apabila kita hendak berangkat pulang ke tanah air. Kita boleh meminta pihak hotel memulangkannya di Masjidil Haram.

Sebaik selesai saie, Aku menggunting sedikit rambutku. Bagitu juga ibuku. Dengan itu selesailah pekerjaan ibadah umrah wajibku dan ibu. Selesai sahaja aku mendapati Masjidil Haram telah dipenuhi oleh jemaah untuk menunaikan solat fardu Jumaat. Begitu juga diluar ramai jemaah datang memasuki MH. Di sini kalau kita berjalan menentang arus, ianya boleh menyebabkan kematian. Aku terperangkap dan terus menunggu solat Jumaat. Cadangan untuk minum atau membuang air kecil dilupakan kerana orang terlampau padat. Di sini solat jumaat dalam pukul 11.00 pagi lebih. Ibuku telah terbatal air sembahyang. Tapi nak buat macam mana. Nak keluar tak boleh. Tempat wuduk jauh. Jadi aku menyuruhnya tunggu sehingga selesai solat Jumaat dan dia menunaikan solat zohor sahaja di hotel.. Di Masjidil Haram (MH) sembahyangnya campur lelaki perempuan. Di depan kita ada orang perempuan, begitu juga di kiri kanan dan belakang. Pihak MH tidak dapat mengawal supaya yang jemaah perempuan di belakang dan lelaki di hadapan. Macam mana nak kawal, orang terlampau ramai. Satu lagi kerana semasa tawaf dan saie memang bercampur lelaki dan perempuan. Jadi bila waktu sembahyang macam mana nak asingkan lelaki dan perempuan. Tidak seperti di M. Nabawi, jemaah lelaki dan perempuan diasingkan. Di sini semasa jemaah haji mula berangkat pulang ke tanah air, barulah pihak MH dapat mengawal keadaan supaya perempuan di belakang dan lelaki di depan. Satu yangh mengkagumkan ialah sistem PA sistem sama ada di MN atau MH sangat canggih - Suara imam sangat jelas.

HAJI 4: MELAWAT TEMPAT-TEMPAT BERSEJARAH

Di Madinah, TH menganjurkan lawatan ke tempat-tempat bersejarah sehari sahaja. Tempat yang dilawati ialah Bukit Uhud, Masjid Quba’, Masjid 2 kiblat, sekitar masjid Nabawi, Perkuburan Baqi’ dan lain-lain lagi. Kita boleh juga menganjurkan lawatan sendiri dengan meminta pertolongan daripada pelajar-pelajar Malaysia yang belajar di Universiti Madinah. Semasa musim haji mereka cuti dan masa inilah mereka mencari wang sampingan dengan menjadi pemandu pelancong. Kita akan lebih menghayati tempat-tempat bersejarah jika kita mengetahui sejarah di sesuatu tempat. Misalnya di Bukit Uhud kita ditunjukkan satu bukit yang rendah, yang dinamakan bukit pemanah. Di bukit inilah tentera Islam berkubu mengadap bukit Uhud. Dan apabila tentera Islam turun dari bukit ini untuk mengambil harta rampasan mereka diserang. Apabila aku melihat jarak antara dua bukit ini iaitu Bukit Uhud dan Bukit Pemanah, aku dapat bayangkan betapa hebatnya pasukan pemanah ini. Jarak antara dua bukit ini agak jauh dan tentera Islam dapat mengalahkan tentera Musyrikin pada mulanya. Di sini apabila disebut bukit, bukitnya tiada pokok-pokok, gondol. Itulah keadaannya di Madinah atau di Mekah. Kita juga akan berasa sayu apabila menziarah maqam para syuhada’ perang Uhud. Kubur di sini tiada batu nisan. Tanahnya rata sahaja. Kalau adapun pada sesuatu kubur hanya diletakkan batu-batu bukit sebagai nisan. Kita juga dapat melihat keadaan seperti darah para syuhada’

Semasa melawat Masjid Qaba’, satu ilmu yang aku belum ketahui iaitu satu hadis Nabi yang bermaksud: sesiapa yang pergi ke Masjid Qaba’ dengan berwuduk dari rumah (hotel tempat penginapan), kemudian solat dua rakaat di Masjid Qaba’, maka pahalanya sama seperti ia menunaikan satu umrah. Masjid Quba’ ialah masjid pertama yang didirikan oleh Nabi SAW di Madinah. Aku rugi tidak mendapat fadhilat ini.

Aku syorkan kepada sahabat/sahabiah yang belum menunaikan haji, elok membeli dua buah buku yang    menceritakan tempat-tempat bersejarah supaya kita dapat lebih manfaat daripada lawatan yang kita buat. Buku bertajuk Sejarah Mekah dan Sejarah Madinah.
    Gambar atas: Bukit Pemanah    Bawah: Bukit Uhud.  Maqam syuhada di sebelah kanan gambar.

Di Madinah harga kurma agak murah kerana di sini terdapat banyak ladang kurma. Di Mekah tiada ladang kurma. Oleh itu harganya mahal di Mekah. Aku sangat suka memakan kurma yang fresh berwarna merah sepanjang lebih kurang 2 inci. Rasanya seperti makan buah ciku. Kelat. Di Madinah dari harga 15 Riyal, bila aku tawar dapat harga 5 Riyal sekg. Di Mekah harganya 10-15 Riyal. Sesiapa yang berhajat membawa kurma balik, aku syorkan agar diposkan sahaja. Mungkin kosnya lebih mudah berbanding membawanya bersama-sama semasa berangkat pulang. Lagi pun agak leceh nak bawa ke Mekah dulu kemudian baru balik.

Semasa mengikuti lawatan ini, aku agak terkilan dengan sikap pelajar yang menjadi pemandu pelancong. Ini kerana semasa akhir lawatan, pelajar ini mempromosi barangan yang mereka jual iaitu minyak wangi dan hati unta. Harganya sangat mahal. Kemudian dia memberikan harga yang telah didiskaunkan. Sebagai contoh harga hati unta 10 riyal tetapi selepas di diskaun, harganya 7-8 Riyal. Sebenarnya di kedai-kedai di Madinah yang telah aku pergi, harganya ialah 5 Riyal. Bagi aku apa salahnya dia berkata benar, memohon pertolongan daripada jemaah haji membeli barang yang dijualnya bagi membantunya untuk mencari dana untuk belajar. Mereka sebenarnya telah mendapat bayaran daripada TH. Jangan membuat perkara yang aku rasa satu penipuan. Menekan harga dari jemaah haji. Aku memang telah dipesan oleh abang ku untuk mencarikan hati unta untuk dibuat ubat anak saudaraku yang menghadapi penyakit lelah. Itu sebab, sebaik sampai di Madinah aku mencari hati unta di kedai di Madinah. Boleh dikatakan semua kedai menjualnya dengan harga 5 Riyal.

Satu yang menarik berkenaan Madinah ialah ianya sebuah bandar yang bersih. Sejuk mata memandang. Tidak seperti di Mekah. Ini kerana kemasukan jemaah haji di Madinah adalah terhad dan terkawal. Oleh itu kebersihannya dapat dijaga dan dikawal. Tidak seperti di Mekah, bandarnya kotar dan banyak sampah. Aku pernah melihat tukang sapu di Mekah tidur lena di atas timbunan sampah (kertas) di waktu panas terik (tengahari). Mengambarkan betapa dia terlampau letih menyapu 24 jam. Ini kerana orang yang datang ke Mekah terlalu ramai dan tidak terkawal. Apabila aku terkenangkan Madinah, hatiku rasa tenteram dan suasananya yang bersih, aman dan damai tidak dapat aku lupakan.

Di belakang Masjid Nabawi, terdapat bangunan-bangunan yang tersergam indah. Kebanyakannya menjual barang kemas. Di sini juga terdapat pasaraya yang mana di sinilah kalau kita nak jumpa wang siling Arab Saudi. Di lain-lain tempat, semua barang dijual dengan harga dalam riyal sahaja. Tiada nilai sen. Aku juga cuba mencari kedai makan di Madinah. Agak susah mencari kedai makan di sini. Di kedai makan, harga ikan agak mahal. Biasanya masyarakat ini makan nasi beraini dan ayam panggang. Aku cuba makanan ini walaupun tiada kuah. Aku kalau makan nasi tanpa kuah biasanya tidak berselera. Aku agak hairan kerana aku boleh makan nasi beraini tanpa kuah. Nasi di sini sedap. Aku tidak muak bila makan nasi ini berbanding di Malaysia. Sepinggan nasi di sini kita boleh makan seramai 3 orang. Begitu kuatnya masyarakat di sini makan. Sepinggan nasi dengan lauknya seekor ayam panggang yang sederhana besarnya.

Harga-harga pakaian di sini dan juga di Mekah agak murah. Sesiapa yang belum dan akan pergi menunaikan Haji aku nasihatkan agar tidak perlu membawa banyak pakaian. Cukuplah sekadar membawa 2 pasang baju melayu dan kain pelikat. Jubah-jubah di sini sangat murah. Serendah 10 riyal. Di Malaysia mana nak dapat harga macam ini. Begitu juga baju tebal / blazer / kot. Harga di Madinah blazer yang aku beli 30 Riyal tetapi di Mekah harga yang paling murah aku dapat ialah 15 Riyal. Berbanding aku beli di Malaysia, walau pun bandle harganya mencecah RM100.


Di Madinah, aku mengambil peluang memasuki tanah perkuburan Baqi’. Aku pergi tanpa kawan. Aku telah tersalah jalan kerana jalan yang aku lalui ialah laluan di mana untuk kaum wanita lalu. Aku lalu menentang arus. Agak sukar bagi aku untuk melepasi laluan ini kerana terlampau ramai orang. Kaum wanita dilarang daripada memasuki tanah perkuburan. Oleh itu mereka hanya berkumpul di bahagian hadapan pagar tanah perkuburan sahaja. Selepas berhempas pulas melepaskan diri dari kelompok orang ramai, aku dapat memasuki tanah perkuburan ini. Seperti di Bukit Uhud, perkuburan di sini rata dan hanya ditandakan dengan batu-batu bukit sahaja. Di sini tersemadi jasad Fatimah puteri rasulullah dan sahabat-sahabat Rasulullah. Walaupun aku mendapat peta kedudukan maqam Fatimah dan sahabat-sahabat dari jemaah haji Iran, tetapi aku tidak dapat membaca di mana kedudukan maqam-maqam tersebut.

Setelah 8 hari berada di Madinah, aku pun berangkat ke Mekah selepas solat asar. Pada sebelah pagi, aku pergi ke Maqam rasulullah dan sahabat sebagai ziarah selamat tinggal. Seperti mana waktu mula aku menziarah maqam Rasulullah, aku merasa sedih untuk meninggalkan tempat mula-mula Islam berkembang ini. Aku terkenang kembali hadis Nabi yang mengatakan sekiranya kita ziarah Nabi sewaktu beliau telah wafat, samalah seperti kita menziarahi baginda masih hidup. Terasa berat hati untuk meninggal Madinah kerana di sini tersemadi jasad kekasih Allah. Aku berdoa agar aku dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki agar satu hari nanti aku akan datang menziarahinya lagi.

HAJI 3: PERJALANAN KE MADINAH

Suatu perkara yang mengembirakan aku ialah sebelum aku berangkat ke Tanah Suci, Guru Besarku telah memanggilku. Dia mengucapkan tahniah sebab 1) Aku telah mendapat Anugerah Perkhidmatan Cemerlang bagi tahun 2004 2) Telah mendapat anjakan gaji sebab lulus PTK (TK1 : 4, 4). (Selepas pulang Haji aku mengambil ujian PTK (TK 2) dan alhamdulillah lulus 4, 4 dan mendapat anjakan lagi). Beliau menyatakan inilah rezeki orang pergi Haji.

Semasa perjalanan dari Kelana Jaya dan KLIA kita dapat rasakan bahawa kita menjadi tetamu Allah. Masa inilah kita rasa macam PM sebab perjalanan ke KLIA diiringi dengan motosikal dan kereta peronda Polis. Kalau lampu merah, bas yang membawa kita, tidak perlu berhenti. Inilah pengalaman pertama aku naik kapal terbang. Naik kapal terbang Saudi Arabia. Tempatnya sempit. Nak luruskan kakipun payah. Kena duduk di bahagian tengah. Masa untuk ke Madinah mengambil masa lebih kurang 12 jam kerana kapal terbang singgah di Riyad untuk mengisi minyak. Sepanjang penjalanan aku tidak putus-putus beristigfar dan mengucap disamping membaca doa agar perjalananku dipermudahkan. Sebenarnya aku ngeri naik kapal terbang sebab kalau apa-apa berlaku susah juga fikirku. Kalau naik kapal laut, apa-apa berlaku boleh cuba berenang dan berikhtiar cara-cara selamatkan diri. Tapi kalau kapal terbang bermasalah, aku fikir .............. Aku cuba berfikiran positif sepanjang perjalanan itu. Setakat ini, aku belum pernah dengar ada kapal terbang membawa jemaah haji terhempas. Walau bagaimana pun sepanjang penjalanan aku tidak dapat melelapkan mata.

Inilah juga pengalaman pertama aku melakukan solat subuh di dalam kenderaan. Mengamalkan ilmu yang sebelum ini hanya teori sahaja. Keadaan di dalam kapal terbang yang sangat sejuk menyebabkan aku terasa semput. Kami tiba di Madinah (hotel) sewaktu hampir zohor. Aku serta kaum keluarga ku menunaikan solat zohor di Masjid Nabawi (MN) tanpa sempat mengikuti imam MN. Selesai solat zohor aku duduk iktikaf di dalam masjid menunggu solat Asar. Selesai solat asar aku masih duduk dimasjid menunggu solat maghrib pula. Sementara menunggu Maghrib aku pergi ke suatu ruang di MN dimana kelas tahfiz diadakan. Dari kanak-kanak hingga remaja mengikuti kelas tersebut. Aku lebih berminat melihat kanak-kanak menghafal Al-Quran. Guru yang mengajar sangat garang. Mana-mana murid yang tak hafal, maka satu pelempang diberikan pada kanak-kanak. Aku berfikir, jika keadaan ini berlaku di Malaysia, dah lama guru tersebut kena tindakan. Aku berkenalan dengan seorang jemaah dari Indonesia. Muda lagi. Aku bertanyakan beliau, dimanakah tempat yang dinamakan Raudah. Sewaktu hari hampir maghrib, beliau menunjukkan aku tempat yang dinamakan raudah itu. Memang ramai orang dan amat sukar untuk memasukinya.

Sepanjang 8 hari berada di Madinah berbagai perkara yang menarik perhatian ku. Di Madinahlah kita boleh melihat pelbagai bangsa dan budaya yang ada di dunia. Ini kerana di sini, setiap negara akan memakai pakaian mengikut negara masing-masing. India, Turki, Indonesia, China dan lain-lain memakai baju beridentiti negara masing-masing. Jemaah Malaysia agak kurang beridentiti. Ada tak ada dengan pakaian baju melayu. Pesanan orang yang telah pergi haji kepadaku ialah bawalah baju melayu sebagai identiti Malaysia. Aku membawa 2 helai baju melayu dan kain pelikat. Masyarat madinah sangat menghormati orang Malaysia. Kalau kita pergi ke kedai-kedai mereka akan memuji Malaysia Bagus. Inilah perkataan yang sering keluar dari mulut masyarakat Madinah.

Masyarakat Madinah lemah-lembut. Menghormati orang lain. Lantas aku terkenang perjuangan Rasulullah. Islam yang dibawa oleh baginda mudah diterima di Madinah. Aku rasa sikap orang Madinah sekarang tidak jauh bezanya dengan sikap mereka dahulu. Madinah sebuah bandar yang bersih dan tersusun kedudukan bangunannya. Bangunannya moden-moden. Hotel penginapanku terletak di bahagian belakang Masjidil Nabawi. Dah tak ingat namanya. Sehingga kita aku dapat membayangkan suasana Madinah yang tenang, bersih dan bersinar-sinar. Jauh berbeza suasana di Mekah. Dari segi bahasa pun tiada masalah. Kebanyakan peniaga tahu bercakap BM. Papan tanda pun ada dalam BM. Macam mana pemimpin UMNO boleh gunakan Bi dalam MTSN. Pada hal BM merupakan bahasa yang digunakan diperingkat antarabangsa. Mana-mana yang tak tahu BM, aku akan menggunakan bahasa Inggeris atau B. Arab yang simpel-simpel. Seperti rijal, nisa’, kabir, sugra, halal, haram merupakan bahasa yang biasa digunakan dalam urus niaga. Sesiapa yang boleh menguasai b. Arab asas, satu kelebihan di sana. Tawar-menawar harga di Madinah tiada masalah.

Sepanjang berada di Madinah aku berkenalan dengan beberapa jemaah dari negara luar. India, pakistan, China, Algeria, Pelastin, Indonesia dan lain-lain lagi. Di sinilah kita dapat rasakan firman Allah yang bermaksud Aku jadikan kamu daripada pelbagai bangsa untuk kamu berkenal-kenalan........

Suatu hari, sewaktu hampir solat maghrib, aku duduk bersebelahan orang Pelastin. Aku bertanya dari mana dia datang? Setelah mengetahui dia orang Palestin, aku menyatakan sokongan ku terhadap pejuang hamas. Beliau menceritakan tentang jihad. Tapi sampai satu tahap, aku tidak memahami apa yang beliau katakan. Nak kata cakap BI rasa macam bukan cakap BI. Bunyilah macam bahasa Arab. Aku pun mati kutu, tak dapat meneruskan perbualan kerana tak faham apa yang dicakapkannya. Kami berhenti berbual. Selepas solat maghrib aku dan orang Pelastin tersebut menunggu waktu Isya. Dia bersandar di tiang masjid mengadap aku dan berbual dengan rakannya. Aku duduk mengadap kiblat. Tiba-tiba satu soalan beliau mengejutkan aku. Dia bertanya TEACHER?? Aku menjawab; Yes, I’m a teacher. Aku bertanya kembali: How do you know? Dia menjawab: I’m teacher. Aku pelik sebab aku pakai kain dan baju melayu. Bagaimana dia tahu aku Cikgu. Sebelum ini ada 2 kes orang yang tanya soalan yang sama. Pertama seorang polis, semasa aku nak selesaikan kes kereta aku di black list. Anggota polis tu tanya, encik ni cikgu ke? Aku tak pelik sebab mungkin cara aku berpakaian dia dapat agak. Satu lagi orang Pakistan jual karpet. Aku tak pernah berjumpa dengannya sebelum ini dan itulah kali pertama aku pergi ke kedainya. Dia tanya, abang ni cikgu ke? Aku tanya macam mana awak tahu. Dia kata cara aku bercakap macam cikgu. Aku dapat simpulkan bahawa jika kita menghayati pekerjaan kita, ianya boleh mendedahkan identiti pekerjaan kita.

Di Madinah, aku sering melihat jemaah Acheh dari jauh. Aku tidak berkesempatan berjumpa dengan mereka. Aku berdoa untuk berkenalan dengan mereka dan ingin menyumbang sedikit wang. Allah memakbulkan permintaan ku pada 26 Disember 2005. Tarikh tersebut ialah setahun selepas berlakunya tsunami. Semasa menunggu masauknya waktu maghrib, seorang jemaah dari Acheh duduk di sebelahku. Aku bertanya tentang tsunami yang berlaku. Beliau berkata tidak ramai keluarganya yang meninggal akibat tsunami. Aku menghulurkan sedikit wang kepadanya sebagai derma. Aku katakan kepadanya, sebelum ni aku ada menderma untuk rakyat Acheh. Tapi aku akan rasa puas jika aku dapat menderma terus kepada orang Acheh. Dia menolak dan memohon agar aku doakan kesejaheraan bagi mereka yang terkorban. Selepas solat Maghrib beliau memohon diri untuk pergi. Tidak semena-mena dia terus memeluk ku . Kami menangis. Beliau berbisik kepada ku mengatakan kita adalah bersaudara. Dia memohon lagi sekali agar aku berdoa ke hadrat Allah taala agar mangsa tsunami Acheh diampunkan dosa oleh Allah Taala dan ditempatkan bersama-sama orang yang soleh. Aku dapat rasakan bagaimana islam telah mengikat hati kami.


Satu perkara yang aku lihat ialah amalan kurafat yang dilakukan berhampiran maqam Rasulullah. Ramai jemaah yang aku lihat menyapu serban-serban mereka di grill dimana maqam rasulullah dan sahabat-sahabat diletakkan. Kononnya untuk mengambil berkat. Segala benda yang menjadi penghadang di maqam nabi diusap-usap kononnya ambil berkat. Sebab itu terdapat beberapa orang askar mengawal kawasan ziarah menghalang orang ramai daripada hampir ke grill maqam rasulullah. Jika kita menziarahi makam ini, keadaannya terlalu sesak apabila berada di hadapan maqam. Kita juga dilarang untuk berdoa dengan mengadap maqam Rasulullah. Kita disurah mengadap kiblat. Jika kita berdoa mengadap maqam Rasulullah kita akan dihalau. Aku agak sayu apabila berada berhampiran maqam rasulullah dan sahabat-sahabat. Aku teringat hadis rasulullah yang bermaksud lebih kurang; sekiranya kamu menziarahi aku selepas aku wafat, sama seolah-olah kamu menziarah ku sewaktu aku masih hidup. Sewaktu memberi salam kepada rasulullah dan sahabat-sahabat, tanpa ku sedari air mataku mengalir. Aku terasa seolah-olah Rasulullah masih hidup. Aku terkenang sewaktu di penghujung usia baginda, sewaktu beliau uzur dan melihat sahabat-sahabat menanti beliau untuk solat berjemaah. Aku dapat gambarkan jarak antara rumah rasulullah dan masjid. Maqam baginda sekarang adalah rumah baginda. Oleh itu, semasa berada di Masjid Nabawi segala cerita-cerita yang dipelajari melalui sirah, kita boleh membuat gambarannya.

Aku berpeluang memasuki ruangan Raudhah hanya 2 kali. Kali pertama masuk agak padat dan sewaktu menunaikan solat sunat aku kurang kusyu’ kerana orang berebut-rebut memasukinya. Kadang-kadang kita dilangkah, ditolak dan lain-lain lagi. Di Raudhah jika kita berdoa menadah tangan, tangan kita akan dipukul dan kita dihalau. Peristiwa ini berlaku kepada seorang jemaah haji yang tua, mungkin dari pakistan. Seorang tentera memarahi beliau dan disuruh keluar. Aku diberitahu, di Raudhah, kalau nak berdoa, doalah semasa sujud. Seorang jemaah Haji dari India mencerita kepada ku, beliau telah bebarapa kali berpeluang untuk memasuki kawasan Raudhah. Katanya, kalau nak masuk kawasan Raudhah, pergilah jam 9.00 malam. Orang kurang. Masjid Nabawi ini akan ditutup selepas Isya dan di buka jam 2.00 pagi. Selepas solat Isya (sekitar jam 7.00 ++ malam, aku merayap di sekitar gerai berhampiran perkuburan Baqi untuk menanti jam 9.00. Pada jam 8.45 , aku pergi ke kawasan Raudhah, dan memang benar, orang kurang dan aku dapat solat dengan tenang.

Di Masjid Nabawi ini, jemaah lelaki dan perempuan diasingkan. Oleh itu, aku bersyukur isteriku dapat menunaikan haji bersama-sama. Dengan itu, dia boleh membantu ibuku semasa pergi ke Masjid Nabawi. Bayangkan bagaimana seorang ibu yang telah tua, pergi ke Masjid Nabawi jika tiada anak/menantu perempuan.

HAJI 2

Selepas mengikuti beberapa siri kursus haji,isteriku didapati tidak datang bulan.Setelah membuat pemeriksaan, didapati isteriku mengandung anak yang ke enam. Seronok ada sedih pun ada.Seronok sebab nak dapat baby. Sedih sebab isteri terpaksa menangguhkan pemergian menunaikan haji.Bila ibuku tahu yang isteriku terpaksa menangguhkan permergiannya ke tanah suci, beliau berasa dukacita dan tak ada semangat untuk pergi.Begitu juga saudara-mara termasuk kakakku yang juga telah disahkan pergi dalam satu penerbangan.Aku pun rasa tidak seronok.Jika isteriku tidak ikut sertabagaimana ibuku nanti di sana.Ibu dan isteriku boleh dikatakan sangat rapat berbanding dengan menantu-menantu yang lain juga dengan anak-anaknya.Oleh itu setiap waktu selepas solat, aku berdoa agar isteriku diberi peluang untuk mengerjakan haji bersama-sama ku.Kalau biasanya aku berdoa seperti biasa sahaja, baca tanpa khusyuk 100%, tetapi kali ini aku sentiasa berdoa dengan khusyu’ dan berharap dengan 100%.Itulah yang aku lakukan setiap waktu selepas solat. Harapan @ penggantungan ku kepada Allah 100%.Aku merayu-rayu kepadaNya agar doaku dimakbulkan.Selepas kandungan berusia 2 bulan, aku ke klinik swasta untuk meminta surat pengesahan mengandung untuk diajukan ke pihak TH bagi membatalkan / menangguhkan pemergian isteriku ke tanah suci.Dr. di klinik tersebut adalah kenalanku kerana beliau adalah ahli jemaah kita yang pernah menjadi calon pas menentang Noh Omar pada PR 1998. Setelah pemeriksaan dibuat, doktor menyatakan kandungan isteriku macam ada masalah.Doktor menyuruh kami tunggu sebulan lagi untuk scan kandungan.Memang, semasa mengandung anak ke 6 ini, isteriku sering tidak sihat.Sering demam dan lemah badan.Bila balik sekolah, isteriku akan terus baring dan tidak boleh membuat kerja-kerja rumah.Begitulah keadaannya setiap hari.Berbeza keadaannya semasa mengandung 5 orang anakku sebelum ini.

Sebelum ini, apabila mengandung, isteri tak pernah pening-pening, loya. Dia macam biasa sahaja. Tapi kali ini berbeza. Kadang-kadang ada pendarahan keluar.

Suatu subuh, selepas solat di masjid aku berdoa dengan bersungguh-sungguh mengharapkan agar Allah taala mengizinkan isteriku dapat menunaikan haji. Pagi itu aku berdoa sehingga hampir menitiskan air mata. Namun aku cuba menahannya. Balik dari masjid, aku diberitahu oleh isteriku bahwa, dia baru sahaja keguguran. Aku lihat bilik mandi penuh dengan darah. Dan aku lihat terdapat seketul darah yang belum membentuk apa-apa anggota manusia lagi. Aku mengutipnya dan memasukkannya ke dalam bekas. Aku terus menghantar isteriku

Aku bersyukur kerana atas nasihat doktor, aku tidak membatalkan lagi tawaran kepada isteri ku untuk menunaikan haji. Syukur kerana Dr. tersebut memohon tempoh sebulan untuk mengesahkan kandungan isteriku. Aku bersyukur kepada Allah, kerana Allah telah memakbulkan permintaan ku. Isteriku berkesempatan untuk mengikuti Kursus Haji Perdana di Shah Alam. Maka pada 21 Disember 2005 dengan no, penerbangan KT54 aku, ibu, isteri dan kakak sulongku berangkat ke tanah suci.

HAJI : CORETAN PENGALAMAN 1

Hari ini 20 Oktober 2009. Hari pertama jemaah haji Malaysia berangkat ke Tanah suci. Bila tiba musim haji, hatiku berasa sayu. Sayu kerana teringat seronoknya menjadi tetamu Allah. Coretan ini hanya untuk berkongsi pengalaman, disamping untuk meluahkan perasaan rindu untuk menziarahi Baitullah.



Aku menjadi tetamuNya pada tahun 1425H (2004/2005). Memang tidak menjangka begitu mudahnya aku m endapat tawaran untuk mengerjakan Haji. Tahun ini daftar, tahun depan ditawarkan pergi. Inilah berkat aku menjadi ibuku yang telah tua. Beberapa orang tua di tempatku sering bertanya: Cikgu ada orang tua lagi? Aku hanya ada ibu yang telah tua sekitar 70 tahun umurnya. Nasihat mereka, jagalah dan berbaktilah kepada orang tua yang masih hidup. Kalau tidak nanti menyesal. Inilah nasihat yang selalu aku ingat. Tambahan dengan ceramah Pak Yazid tentang anak yang soleh semasa UPM. Aku cuba mempraktikkannya.

Aku dan isteri berusaha supaya ibuku dapat menunaikan haji sebelum beliau meninggal. Aku selalu berkata kepada ibuku, kalau ada sesiapa orang kampung @ kawan-kawannya yang hendak pergi haji ikutlah sekali. Tapi ibu dengan tegas menyatakan, kalu dia hendapat menunaikan haji, beliau hendak ditemankan oleh anaknya sediri dan dikhususkan aku mesti menemaninya.

Pada suatu hari, Aku dan isteri mengajak ibu ke Tabung haji untuk membuka akaun. Aku katakan kepadanya, kita buka akaun TH dan niat untuk pergi menunaikan haji. Emak mengatakan boleh ke dia pergi haji, mana ada wang. Apa pendapatannya? Memang wang yang ada cukup untuk makan sahaja. Tapi aku katakan, niat betul-betul, kalau Allah izinkan kita akan pergi dan kalau kita mati, kita telah pun memasang niat dan berusaha untuk pergi. Allah maha mengetahui. Ada adik beradik yang mengatakan: alah tak payah buka akaun, kalau ada duit terus buka akaun dan pergi Haji. Tak bagi motivasi langsung. Hati ibu terguris. Aku dan isteri mengatakan jangan kisah dengan cakap kakak.

Wang yang aku keluarkan dari KWSP adalah sebagai asas simpanan ku. KWSP dapatlah kurang RM9K. Isteri dapat hampir RM20K. Maklumlah dia ijazah dan aku diploma. Dan dia bekerja lebih lama daripada aku. Isteriku top up sedikit wang nya ke dalam akaun aku dan ibu. Ibu mertuaku juga banyak menyumbang untuk ibu. Sering beliau memberi wang kepada ku untuk di masukkan ke akaun ibu. Dia hendak memastikan ibuku dapat menunaikan haji sebelum ibu ku dipanggil oleh Allah Taala. Seorang sepupu di singapura juga menyumbang kepadaku untuk ibuku. Dia juga berharap ibuku dapat mengerjakan haji sewaktu hidupnya. Terima kasih kepada semua yang menyumbang buat ibuku terutama isteri dan ibu mertuaku yang banyak menyumbang.

Bergambar bersama ibu dan kakak selepas melakukan umrah.

Pada tahun 2004, ibu mendapat tawaran istemewa mengerjakan haji warga emas. Jika setuju, ibu boleh membawa pengiring @ tanpa pengiring. Ibu memang hendak aku pergi bersamanya. Jadi dia mesti diiringi. Jadi akulah yang menjadi pengiring. Tapi masalahnya macam mana dengan isteriku. Pengiring hanya seorang. Selepas berbincang dengan pegawai TH, aku membuat rayuan dan akhirnya rayuanku diterima. Maka ibuku, aku dan isteri dapat mengerjikan haji pada tahun itu.